JOHOR BAHRU: Calon Pakatan Harapan (PH), Suhaizan Kayat yakin percubaan kali ketujuh beliau dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai akan memberikan kemenangan.
Justeru, beliau berterima kasih atas sokongan diberikan pucuk kepimpinan parti-parti komponen yang mengiringi perarakan ke Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, di sini bagi menyerahkan borang pencalonan.
“Saya lebih bersemangat dan yakin, percubaan kali ketujuh ini akan berakhir dengan kemenangan, kita akan berusaha mendapatkan kemenangan dengan majoriti meyakinkan.
“Alhamdulillah kesepakatan kukuh dalam (dengan kehadiran menteri dan kepimpinan tertinggi parti). Ini merupakan pertama kali dalam sejarah Johor, dua gabungan politik besar bekerjasama untuk berdepan PRK ini.
“Saya cukup yakin ia akan diterjemahkan dalam bentuk kertas undi pada 9 September ini,” katanya selepas namanya disahkan sebagai salah seorang calon dalam PRK Parlimen Pulai.
Suhaizan komited untuk meneruskan legasi yang telah dilaksanakan Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub sekiranya diberikan mandat oleh pengundi kawasan tersebut.
“Selain itu, agenda lain yang turut diperlukan penduduk kawasan seperti isu perumahan, pendidikan, pekerjaan, sosial dan sebagainya akan diberikan perhatian,” katanya.
Sementara itu, Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Mohamad Sabu memberitahu, pihaknya akan bekerja keras untuk mendapatkan undi lebih banyak bagi memenangkan calon mereka.
“Kita mahu dapatkan undi yang banyak supaya menang kerana dalam pilihan raya memang siapa lebih undi dia yang akan menang, itu sahaja,” katanya ringkas.
Dalam PRK Parlimen Pulai itu, Suhaizan berdepan saingan daripada calon Perikatan Nasional (PN), Zulkifli Jaafar serta seorang calon Bebas, Samsudin Mohamad Fauzi. – UTUSAN










