JOHOR BAHRU: Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai, Suhaizan Kaiat enggan memperkecilkan cabaran calon Perikatan Nasional (PN), Zulkifli Jaafar walaupun kurang mengenalinya.
Beliau yang juga bekas Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor mengakui hanya mengenali Zulkifli yang juga Timbalan Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Pula semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, tahun lalu.
Beliau tetap bertekad melakukan sehabis baik bagi menarik sokongan pengundi di kawasan Parlimen berkenaan untuk terus menyokong kerajaan perpaduan.
“Saya tidak ada hubungan peribadi (dengan calon PN), jumpa hanya semasa program kempen-kempen pilihan raya dan secara rambang sahaja. Namun, saya masih melihat PRK ini sebagai satu cabaran besar, khususnya dalam soal peratusan keluar mengundi.
“Ini kerana kebiasaannya dalam PRK ‘turn out’ pengundi rendah disebabkan kurang mood, saya khuatir perkara itu kerana kalau rendah, akan jadi cabaran. Harapan sayaagar peratusan keluar mengundi mencecah 70 peratus, jika jumlahnya besar saya yakin Insya-Allah peluang untuk menang itu ada,” katanya selepas bertemu masyarakat India di Kuil Arulmigu Rajamariamman, di sini hari ini.
Suhaizan yang juga Ketua Parti Amanah Negara (Amanah) Kawasan Pulai turut berharap menerima kerjasama daripada rakan komponen dalam kerajaan perpaduan, khususnya daripada UMNO dan Barisan Nasional (BN).
“PKR dan DAP sudah bersetuju memberikan kerjasama, khususnya di kawasan Perling, manakala bagi kawasan Kempas, itu merupakan kubu kuat UMNO. Sehubungan itu, saya telah mengadakan pertemuan dengan Ketua UMNO Bahagian Pulai, Datuk Nur Jazlan Mohamed, dia merupakan individu pertama yang saya jumpa apabila dimaklumkan akan tercalon dalam PRK ini.
“Alhamdulillah, saya terima maklum balas amat positif daripada pihaknya, saya juga meminta bantuan mereka berserta 18,000 ahli UMNO Pulai untuk memberikan undi kepada saya dalam PRK ini kelak,” katanya.
Dalam pada itu, Suhaizan turut berharap semua calon yang bertanding dalam PRK Parlimen Pulai akan berkempen secara sihat dan menghormati prinsip demokrasi yang diamalkan di negara ini.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh penamaan calon bagi PRK Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram pada 26 Ogos, manakala pengundian awal pada 5 September dan hari pengundian pada 9 September ini.
PRK tersebut diadakan ekoran kematian penyandangnya, Datuk Seri Salahuddin Ayub yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup pada 23 Julai lalu. – UTUSAN