PRK: Sebanyak 26 set borang dijual, dijangka calon Bebas turut bertanding - Utusan Malaysia

PRK: Sebanyak 26 set borang dijual, dijangka calon Bebas turut bertanding

PENGUNDI diingatkan agar menjaga kerahsiaan undi masing-masing dengan tidak merakam gambar kertas undi pos dan menularkannya dalam laman media sosial.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Sebanyak 26 set borang penamaan calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) di Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram telah dijual setakat petang ini.

Menurut sumber Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), daripada jumlah itu, lima set borang telah dibeli oleh individu yang berkemungkinan besar akan turut bertanding sebagai calon Bebas.

Empat borang penamaan calon yang dibeli individu itu bagi pertandingan di Parlimen Pulai dan selebihnya untuk DUN Simpang Jeram.

Berdasarkan penjualan borang penamaan calon itu, kedua-dua PRK di Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram berkemungkinan menyaksikan pertandingan tiga penjuru atau lebih.

Bagi PRK Parlimen Pulai, Pakatan Harapan (PH) meletakkan bekas Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, Suhaizan Kaiat yang akan dicabar Timbalan Ketua Bahagian Bersatu Pulai, Zulkifli Jaafar yang mewakili Perikatan Nasional (PN).

Difahamkan, Yang Dipertua Persatuan Keselamatan Pengguna Kuala Lumpur (PKPKL), Samsudin Mohamad Fauzi turut menawarkan diri untuk bertanding sebagai calon Bebas bagi kerusi Parlimen Pulai.

Sementara itu, di kerusi DUN Simpang Jeram pula, Parti Amanah Negara (Amanah) mempertaruhkan Nazri Abdul Rahman sebagai calon yang akan ditentang oleh Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Dr. Mohd. Mazri Yahya.

SPR menetapkan tarikh penamaan calon bagi PRK Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram adalah pada 26 Ogos, pengundian awal pada 5 September dan hari pengundian pada 9 September.

Setakat 23 Julai lalu, seramai 166,653 individu layak mengundi bagi kerusi Parlimen Pulai dan 40,379 pengundi di DUN Simpang Jeram.

Kerusi Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram kosong susulan kematian penyandangnya, Datuk Seri Salahuddin Ayub yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup pada 23 Julai lalu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN