JOHOR BAHRU: Lokasi pusat penamaan calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Sabtu ini agak unik kerana mempunyai nama yang sama.
Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Ikmalrudin Ishak dalam satu kenyataan memaklumkan, lokasi penyerahan borang pencalonan bagi kerusi Parlimen Pulai ditetapkan di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, Johor Bahru, manakala bagi DUN Simpang Jeram di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, Muar.
Calon-calon yang ingin bertanding diminta menyerahkan borang pencalonan masing-masing mulai pukul 9 hingga 10 pagi di kedua-dua pusat berkenaan dan para penyokong dinasihati supaya mematuhi undang-undang yang ditetapkan, termasuk dilarang berada dalam jarak 50 meter dari sempadan pusat penamaan.
“Penggunaan semua jenis alat muzik atau pembesar suara bagi tujuan dakyah politik termasuk menerusi penggunaan apa jua jenis kenderaan adalah tidak dibenarkan pada hari penanaman calon dan merupakan satu kesalahan di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.
“SPR juga menyeru bakal calon dan parti politik yang terlibat agar sentiasa mematuhi undang-undang, peraturan, tata etika dan arahan-arahan yang dikeluarkan oleh SPR, polis dan pihak berkuasa tempatan bagi memastikan proses penamaan calon berjalan dengan lancar,” katanya.
Bakal calon juga disaran membuat pembayaran deposit lebih awal dan resit pembayaran tersebut hendaklah dibawa pada hari penamaan calon sebagai bukti pembayaran.
“Bagi bakal calon yang mewakili parti politik, adalah diingatkan untuk mengemukakan surat kebenaran penggunaan simbol parti yang diwakili apabila membuat penyerahan kertas penamaan calon. Setiap bakal calon hanya dibenarkan diiringi oleh seorang pencadang dan seorang penyokong untuk memasuki pusat penamaan calon,” jelasnya.
SPR menetapkan tarikh penamaan calon bagi PRK Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram pada 26 Ogos, manakala pengundian awal pada 5 September dan hari pengundian pada 9 September ini.
PRK tersebut diadakan ekoran kematian penyandangnya, Datuk Seri Salahuddin Ayub yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup pada 23 Julai lalu. – UTUSAN