PRK Pulai: Uji sokongan pengundi kepada PH-BN - Utusan Malaysia

PRK Pulai: Uji sokongan pengundi kepada PH-BN

NUR JAZLAN MOHAMED 
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai bakal menjadi medan ujian gabu­ngan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) meraih sokongan bukan Melayu.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, ini kerana parlimen itu mempunyai komposisi pengundi bukan Melayu lebih tinggi.

“Sama ada mereka akan memberi sokongan atau tidak akan dibuktikan 9 September ini. Perkara itu penting untuk menilai sama ada gabungan ini dapat diterima akar umbi bukan Melayu,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Bekas Ahli Parlimen Pulai dan Ketua UMNO Bahagian Pulai berkata, walaupun memberi laluan kepada calon PH, pihaknya akan menggerakkan jentera BN Pulai untuk membantu kempen mempertahan kerusi tersebut.

“Ya, kita akan bantu atas semangat Kerajaan Perpaduan. Jika dilihat atas kertas calon Parti Amanah Negara (Amanah), Suhaizan Kaiat akan menang bergaya sekiranya pengundi keluar menunaikan tanggungjawab,” katanya.

Sementara itu, Nur Jazlan berkata, beliau tidak terkilan walaupun tidak terlibat secara langsung dalam PRK berkenaan, selepas menjadi calon BN bagi kerusi Parlimen itu dalam lima Pilihan Raya Umum (PRU).

“Tiada apa-apa rasa, saya sudah puas bertanding dan menjadi wakil rakyat. Kali ini kita akan bantu kemenangan calon kerajaan,” katanya yang kini Timbalan Speaker Dewan Negara.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh pe­na­maan calon bagi PRK Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram pada 26 Ogos manakala pengundian awal pada 5 September dan hari pengundian (9 September).

PRK tersebut diadakan eko­ran kematian penyandang­nya, Datuk Seri Salahuddin Ayub yang juga Menteri Perdaga­ngan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup pada 23 Julai lalu.

Parlimen Pulai mempunyai 166,653 pengundi, manakala di DUN Simpang Jeram terdapat 40,379 pengundi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN