JOHOR BAHRU: Seramai 3,500 pegawai dan anggota polis ditugaskan untuk menjaga keamanan dan ketenteraman awam pada hari penamaan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram, Sabtu ini.
Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, seramai 2,500 pegawai dan anggota ditempatkan di pusat penamaan calon PRK Pulai, manakala selebihnya di DUN Simpang Jeram dan persediaan rapi telah dilakukan pihaknya bagi memastikan proses itu berjalan lancar dan tenang, tanpa sebarang gangguan yang boleh menggugat ketenteraman awam.
“Seramai 3,500 pegawai dan anggota polis Johor bertugas pada hari tersebut dan setakat ini kita tidak meminta bantuan dari negeri lain kerana hanya ia hanyalah PRK.
“Kesemua pegawai dan anggota, termasuk kereta peronda akan digerakkan ke pusat penamaan calon dan kawasan sekitar untuk membuat pemantauan dan menjaga keselamatan bagi memastikan tiada sebarang insiden tidak diingini berlaku,” katanya ketika dihubungi, di sini hari ini.
Kamarul Zaman turut menasihati calon serta penyokong parti politik untuk mematuhi peraturan dikeluarkan polis serta Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sepanjang pilihan raya berlangsung.
“Jangan cetuskan sebarang provokasi serta hormat menghormati antara satu sama lain,” katanya.
Dalam pada itu, beliau memberitahu, seramai 927 anggota polis akan mengundi awal pada PRK Parlimen Pulai, manakala tiada yang terlibat dalam undi awal bagi DUN Simpang Jeram.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh penamaan calon bagi PRK Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram pada 26 Ogos, manakala pengundian awal pada 5 September dan hari pengundian pada 9 September.
PRK tersebut diadakan ekoran kematian penyandangnya, Datuk Seri Salahuddin Ayub yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup pada 23 Julai lalu. – UTUSAN