JOHOR BAHRU: Seorang lelaki dengan sembilan rekod jenayah lampau ditahan polis kerana memandu secara berbahaya, menghalang penjawat awam menjalankan tugas dan merosakkan harta benda awam, awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, suspek yang berusia 31 tahun itu ditahan di Jalan Tebrau, di sini pada pukul 4.41 pagi.
Pihaknya mengesan suspek yang sedang memandu kenderaan dalam keadaan mencurigakan kira-kira pukul 2 pagi.
“Suspek bertindak melarikan diri daripada tujuh buah kenderaan peronda polis (MPV) dari Ibu pejabat Polis Daerah Johor Bahru Selatan yang mengekorinya sejauh 15 kilometer.
“Suspek kemudian berjaya ditangkap selepas kenderaan dipandunya merempuh pagar keselamatan di tepi jalan sebuah taman perumahan di sekitar bandar raya ini,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Raub berkata, pihaknya turut merampas kereta Proton Persona yang dipandu suspek.
“Semakan rekod lampau mendapati suspek mempunyai lima rekod lampau bersabit kesalahan jenayah dan empat kesalahan dadah, manakala ujian urin mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine,” katanya.
Suspek kini direman selama empat hari bermula hari ini hingga 5 Ogos bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 186 dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan, Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Selain itu, polis turut meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat tentang kejadian itu untuk tampil menghubungi talian 07-2182323. – UTUSAN