KUALA LUMPUR: Polis menerima satu laporan berkenaan tindakan seorang lelaki yang membaca doa dalam satu majlis yang turut disertai upacara keagamaan penganut lain.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid berkata, laporan itu diterima pada 22 Ogos dan siasatan lakukan Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman.
Menurut beliau, orang ramai dinasihat tidak membuat sebarang andaian mengenai kes terbabit sehingga siasatan selesai.
“Setakat ini, kita terima satu laporan berhubung insiden berkenaan.
“Siasatan berhubung laporan itu dilakukan oleh pihak Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur di sini hari ini.
Terdahulu Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) memaklumkan akan melakukan siasatan lanjut berhubung isu terbabit bagi memastikan amalan itu tidak mengandungi unsur menyalahi pandangan hukum atau fatwa.
Mengenai insiden tarian gelek separuh bogel di Bukit Bintang yang juga tular di media sosial, baru-baru ini, Allaudeen berkata, pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sudah mengambil tindakan berhubung isu itu.
“Tindakan sudah diambil oleh DBKL. Malah, premis itu juga sudah ditutup,” katanya.
Sebelum itu, satu rakaman video memaparkan beberapa wanita menari tarian gelek dengan pakaian menjolok mata di Bukit Bintang tular di media sosial Facebook. – UTUSAN