KUALA LUMPUR: Laporan kesalahan salah guna kad pengenalan (Mykad) pada hari mengundi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabtu lalu sering diterima polis pada setiap kali hari pengundian pilihan raya.
Ketua Polis Negara,Tan Sri Razarudin Husain berkata, laporan kes- kes sedemikian sering berlaku dan pada hari pengundian Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) laporan kes seperti itu lebih tinggi.
“Pada PRN di enam negeri minggu lalu, polis menerima 94 kes penggunaan kad pengenalan orang lain. Laporan mengenai perkara itu masih dalam siasatan dan perkara ini akan berlaku setiap kali pilihan raya.
“Kes ini lebih kepada kad pengenalan palsu (berbanding kecurian identiti),” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Serah Terima Tugas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah di Mes Pegawai Kanan, Bukit Aman, di sini hari ini.
Turut hadir, Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay.
Razarudin dalam satu kenyataan kelmarin berkata, jumlah laporan tertinggi membabitkan kesalahan kad pengenalan di Selangor merekodkan 48 kes, diikuti Pulau Pinang (20), Negeri Sembilan (enam), Kelantan (dua) dan sembilan kes masing-masing di Kedah serta Terengganu.- UTUSAN