JOHOR BAHRU: Gelombang rakyat yang melanda pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri, sekali gus memberi kemenangan kepada Perikatan Nasional (PN) diyakini akan membadai Johor pada Pilihan Raya Kecil (PRK), 9 September ini.
Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, gelombang sokongan itu adalah referendum yang jelas menyatakan tidak menyokong kerajaan perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata, dalam situasi dan keadaan politik negara ketika ini, PRK di dua kawasan ini cukup signifikan dan memberi kesan tersendiri kepada rakyat di negeri ini.
“PRK ini diadakan selepas PRN enam negeri yang menyaksikan PN menang 146 kerusi daripada 245 kerusi ditandingi, kira-kira 60 peratus kemenangan berpihak kepada kita.
“PRN lalu yang mendapat undi popular adalah PN, ini adalah mesej jelas oleh rakyat bahawa pimpinan kerajaan Pusat tak menunjukkan keupayaan dan dilihat sebagai kerajaan yang gagal.
“Gelombang rakyat itu sudah ada di sini, ia harus terus disalurkan kepada peringkat akar umbi di Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram untuk memberikan sokongan kepada parti,” katanya pada Majlis Pengumuman Calon PN bagi PRK Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram di Kempas, di sini hari ini.
Yang turut hadir, Presiden Gerakan, Datuk Dr. Dominic Lau yang juga Timbalan Pengerusi PN, Ketua Penerangan PN, Datuk Seri Azmin Ali, Pesuruhjaya Pas Johor, Abdullah Hussin dan Pengerusi PN Johor, Datuk Dr. Sahruddin Jamal.
Pada majlis itu, Muhyiddin mengumumkan Zulkifli Jaafar sebagai calon PN di Parlimen Pulai dan Dr. Mohd. Mazri Yahya sebagai calon DUN Simpang Jeram.
PRN di enam negeri baru-baru ini mengekalkan status quo apabila PH-BN kekal memerintah di Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan, manakala PN mengukuhkan penguasaan di Kedah, Kelantan dan Terengganu.
Kemenangan itu dikatakan berpihak kepada PN kerana berjaya menembusi kubu PH-BN apabila mengurangkan majoriti kerajaan perpaduan di ketiga-tiga negeri dikuasai PH dan BN, termasuk menamatkan penguasaan dua pertiga PH di Selangor yang dicatatkan sejak 15 tahun lalu dan berjaya bertapak di Negeri Sembilan.
Mengulas lanjut, Muhyiddin yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berkata, Pulai yang dahulunya kawasan gelap kini sudah bertukar putih dan peluang untuk menang agak tinggi.
“Kita sudah melalui banyak pilihan raya, dan ini tidak mustahil meskipun analisis kawasan sebelum ini menunjukkan kawasan gelap. Jika, kita mendapat sokongan 90 peratus daripada pengundi Melayu, kita yakin boleh menang,” katanya.
PRK Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram diadakan susulan kematian penyandangnya, Datuk Seri Salahuddin Ayub yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup pada 23 Julai lalu. – UTUSAN