PETALING JAYA: Bantuan pihak ketiga untuk mengekstrak rakaman suara dalam cakera memori (memory puck) daripada kotak perakam suara kokpit (CVR) jet Beechcraft bertujuan untuk mengesahkan dapatan siasatan negara adalah sama.
Profesor di Jabatan Kejuruteraan Aeroangkasa, Fakulti Kejuruteraan daripada Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Dr Mohamed Thariq Hameed Sultan berkata, bantuan daripada luar bukan bermakna Malaysia tidak mempunyai kepakaran atau peralatan untuk melakukan perkara sama, sebaliknya semua keperluan tersebut ada di negara ini.
Katanya, ia bagi mengesahkan hasil dapatan dalam negara sama dengan pihak luar kerana maklumat yang perlu disampaikan kepada keluarga mangsa mesti sahih.
“Kalau kita nak menganalisis sesuatu kejadian, buat penelitian dari segi CVR tersebut mungkin ada percakapan yang tidak berapa nak jelas dan sebagainya lalu memerlukan pihak ketiga untuk mengesahkan apa mereka dengar adalah sama dengan kita.
“Lagipun kita dapati CVR itu sudah terbakar, jadi mungkin di luar negara mempunyai teknologi lebih canggih yang boleh digunakan untuk membantu mendapatkan penjelasan ataupun dapatan daripada alat tersebut,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Terdahulu, CVR pesawat jenis Beechcraft 390 Premier 1 akan dihantar ke Florida, Amerika Syarikat selepas makmal Biro Siasatan Keselamatan Pengangkutan di Singapura gagal mengesktrak rakaman suara dalam cakera memori CVR berkenaan.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, pihaknya menerima makluman bahawa makmal di Singapura berdepan masalah masalah teknikal sehingga menghalangnya daripada mengeluarkan rakaman suara tersebut.
Katanya, keputusan menghantar peranti berkenaan ke Florida kerana negara itu merupakan pembuat CVR dan kerajaan percaya mereka mampu menganalisis rakaman suara pesawat yang terhempas di Elmina, Shah Alam, baru-baru ini.
Mohamed Thariq berkata, data yang diperoleh daripada hasil penganalisisan CVR tersebut sangat penting bagi mengenalpasti punca kejadian termasuk menambah baik keselamatan penerbangan bagi mengelakkan tragedi sama berulang.
“Kita nak tahu kenapa sebenarnya pesawat itu terbelok dan sebagainya, ini boleh diketahui dengan hanya melakukan penganalisaan CVR tersebut,” katanya.
Nahas pesawat di Almina, Shah Alam itu mengorbankan 10 nyawa termasuk Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelangai, Allahyarham Datuk Seri Johari Harun. – UTUSAN










