PETALING JAYA: ‘Apakah ada petanda positif untuk Kerajaan Perpaduan?’
Demikian persoalan dibangkitkan Ketua Sekretariat Kerajaan Perpaduan, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki susulan peratusan keluar mengundi rendah yang dilaporkan di enam pilihan raya negeri (PRN) hari ini.
Menurut Setiausaha Agung UMNO itu, laporan dari Bilik Gerakan Barisan Nasional (BN) menunjukkan peratusan keluar mengundi secara keseluruhannya di keenam-enam negeri amat rendah setakat pukul 2 petang.
“Rata-rata tidak mencecah 50 peratus dengan saluran anak muda dan pengundi luar di kalangan perantau juga amat rendah jauh berbanding Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu.
“Apakah ada petanda positif untuk Kerajaan Perpaduan?,” soalnya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.
Pada masa sama, Asyraf Wajdi berdoa agar Allah mengurniakan kemenangan kepada calon-calon BN dan Pakatan Harapan (PH).
“Saya sendiri sempat meninjau sendiri pos-pos jentera Barisan Nasional dan Pakatan Harapan di sekitar Dun-Dun Semerak, Gaal, Selinsing dan Limbongan di bawah Parlimen Pasir Puteh,” katanya.
Terdahulu, Utusan Online melaporkan, Kelantan merekodkan peratusan keluar mengundi paling rendah sempena PRN iaitu sebanyak 45 peratus setakat pukul 2 petang.
Terengganu dan Kedah masing-masing mencatatkan sebanyak 56 peratus; manakala Pulau Pinang 53 peratus dan Selangor 51 peratus selain Negeri Sembilan 49 peratus. -UTUSAN