PASIR PUTEH: Seorang penganggur dicekup selepas didapati menyimpan dua jenis dadah bernilai RM1,250 di dalam beg silangnya semasa berada di dalam bangsal di belakang sebuah rumah di Kampung Banggol Pak Esah di sini hari ini.
Suspek yang berusia 43 tahun itu ditahan semasa sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Pasir Puteh menjalankan serbuan di kawasan tersebut kira-kira pukul 12.04 tengah malam tadi.
Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Superintendan Zaizul Rizal Zakaria berkata, pemeriksaan di dalam beg silang yang dipakai oleh suspek menjumpai tiga botol plastik dengan setiap satunya berisi 15.26 gram dadah jenis heroin dan dua biji pil kuda.
“Ujian saringan air kencing mendapati suspek positif dadah jenis opiat.
“Suspek ditahan reman selama tujuh hari bermula hari ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B, Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini.