JOHOR BAHRU: Pemilik syarikat pembekalan kontena dan bekas pengurus besar syarikat pelabuhan di Gelang Patah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan bersubahat dan membuat tuntutan palsu berjumlah RM151,024.50, dua tahun lalu.
Kedua-dua tertuduh, Ng Wei Che, 33, dan Tan Ming Han Vincent, 40, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim, Datuk Ahmad Kamal Ariffin Ismail.
Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh Wei Che yang merupakan pemilik syarikat pembinaan telah mengemukakan dokumen tuntutan, iaitu Invois berjumlah RM151,024.50 bersama-sama nota pengedaran, pengukuran akhir yang dipersetujui dan permohonan untuk pemeriksaan terhadap syarikat pelabuhan tersebut yang mengandungi butiran palsu dan ñ pembekalan barang tersebut tidak sama dengan pembekalan yang dilaksanakan dalam tuntutan dibuat syarikatnya.
Perbuatan itu dilakukan di Jalan Pelabuhan Tanjung Pelepas, Gelang Patah, pada 9 November 2021.
Bagi perbuatan itu Wei Che didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda tuntutan palsu atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi jika disabitkan kesalahan.
Sementara itu, bekas pengurus besar syarikat pelabuhan itu, Ming Han didakwa bersubahat dengan Wei Che melakukan perbuatan itu dengan niat memperdayakan prinsipalnya ketika itu, dengan mengarahkan penerimaan pembekalan yang dilaksanakan.
Beliau yang juga pengurus besar sebuah syarikat farmaseutikal didakwa melakukan perbuatan itu di lokasi dan waktu yang sama.
Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 28(1)(c) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dibaca bersama Seksyen18 Akta yang sama dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(2)(c) akta sama yang boleh dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika disabitkan kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Nur Zahida Muhammad Ruzi, manakala Wei Che diwakili peguam, Goh Sze Han dan Ming Han diwakili peguam R.Jayabalan dan R.Subash.
Nur Zahida memohon kepada mahkamah untuk mengenakan Wei Che jaminan berjumlah RM40,000, manakala Ming Han sebanyak RM20,000 dalam bentuk cagaran dengan syarat tambahan perlu melapor diri ke Pejabat SPRM setiap bulan dan menyerahkan pasport kepada mahkamah.
Hakim membenarkan jaminan berjumlah RM10,000 dalam bentuk cagaran dengan seorang penjamin warga tempatan selain perlu melaporkan diri di Pejabat SPRM Johor Bahru.
Mahkamah menetapkan 2 Oktober depan sebagai tarikh serahan kes. – UTUSAN