PETALING JAYA: Mahkamah Sesyen di sini semalam membenarkan permohonan pihak pembelaan untuk memanggil seorang pakar psikiatri memberi keterangan dalam perbicaraan kes penyanyi dan komposer, Muhammad Yasin Sulaiman yang menghadapi tiga pertuduhan berkaitan dadah.
Hakim Faiz Dziyauddin membenarkan Pakar Perunding Forensik Psikiatri Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak, Dr. Ian LLoyd Anthony disapina bagi membolehkan beliau hadir pada perbicaraan kelak.
Mahkamah dijadual mendengar perbicaraan Muhammad Yasin, 48, pada 28 dan 29 Ogos ini.
Sementara itu, buat pertama kalinya, ibu tertuduh, Suzanah Abdullah, 73, hadir di mahkamah mengikuti prosiding kes.
Marwan Sulaiman yang merupakan adik Yasin berkata, meskipun ibu mereka sentiasa menziarahinya di penjara, beliau mahu mengetahui perkembangan kes itu.
Pada 6 Julai lalu, mahkamah diberitahu, Yasin layak dibicarakan atas pertuduhan dadah meskipun laporan psikiatri yang dikeluarkan oleh Hospital Bahagia mengesahkan dia tidak waras ketika kejadian yang didakwa dilakukannya.
Perkembangan pemeriksaan psikiatri penyanyi itu menunjukkan, keadaan mental tertuduh bertambah baik dan layak dibicarakan serta mampu membela diri atas pertuduhan.
Hasil pemeriksaan di hospital berkenaan turut menyimpulkan Yasin mengalami bipolar disorder, (keceleruan efektif) dan hyperthyroidism.
Terdahulu, peguam tertuduh, Ariff Azami Hussein berkata, pihak pembelaan memohon mahkamah agar mengeluarkan sapina kepada pakar berkenaan bagi membolehkan beliau hadir memberi keterangan.
Timbalan Pendakwa Raya Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin memaklumkan pihak pendakwaan tidak membantah.
Terdahulu, Raja Zaizul memaklumkan seramai 10 saksi pendakwaan dijangka memberi keterangan perbicaraan itu.
Muhammad Yasin didakwa dalam milikannya dadah berbahaya jenis Kanabis seberat 193.7 gram di sebuah kondomonium di Persiaran Surian Damansara Indah Resort Home, PJU 3, Kota Damansara di sini pukul 5.30 petang 24 Mac 2022.
Bagi pertuduhan kedua, Muhammad Yasin didakwa menanam 17 pokok dalam pasu plastik yang mana daripadanya Kanabis yang diperolehi secara terus atau tidak langsung pada tempat, waktu dan tarikh sama.
Untuk pertuduhan ketiga, Yasin didakwa memberikan dirinya dadah jenis ‘11-nor-delta-9 tetrahydrocannabinol-9- carboxylic acid’ di Pejabat Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya, pukul 11.05 malam pada tarikh sama. – UTUSAN










