PETALING JAYA: Kerajaan Negeri Kelantan dikritik kerana membiarkan penduduknya mencari penyelesaian sendiri dalam isu mendapatkan bekalan air yang bersih.
Menteri Sumber Asli dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, perkara tersebut tidak sepatutnya terjadi kepada rakyat.
“Kenyataan Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah membayangkan kerajaan Pas lebih rela membiarkan rakyat menanggung beban kewangan dengan menggali air bawah tanah yang membahayakan kesihatan sendiri.
“Amatlah tidak patut bagi seorang wakil pegawai tinggi kerajaan dan berpendidikan agama,” katanya menerusi ciapan di laman Twitternya.
Nik Nazmi mengulas kenyataan dikeluarkan oleh Mohd. Amar yang dilaporkan oleh sebuah portal berita.
Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Panchor itu dilaporkan berkata, isu air dihadapi rakyat Kelantan terutama di kawasan-kawasan kampung bukannya satu masalah bagi Pas untuk terus menerajui kerajaan.
Mohd. Amar berkata, penduduk di sana mempunyai alternatif lain untuk mendapatkan bekalan air bersih seperti membina air telaga tiub atau perigi.-UTUSAN