KEMAMAN: Nelayan di sekitar Kemasik dekat sini meluahkan rasa kecewa apabila masalah muara cetek yang dihadapi mereka lebih lima tahun lalu seolah-olah tiada penyelesaian.
Mereka mendakwa, projek pembinaan benteng pemecah ombak bernilai kira-kira RM7 juta bagi menghalang muara itu terus cetek juga gagal disiapkan sepenuhnya walaupun sudah lebih lima tahun.
Ahli Jawatankuasa Persatuan Nelayan Kemasik, Rozali Ismail berkata, difahamkan, projek pembinaan benteng itu sepatutnya siap dalam tempoh tiga bulan, namun, sehingga kini projek itu gagal disiapkan.
“Janji tiga bulan, tapi sekarang dah masuk lima tahun, kami tak tahu apa masalah.
“Kami hanya minta muara cetek ini diatasi sebab masalah tersebut menimbulkan kesusahan untuk nelayan,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.
Rozali berkata, batu yang digunakan untuk dijadikan benteng pemecah ombak runtuh di menjadikan muara tersebut semakin sempit dan menyukarkan pergerakan bot.
Seorang lagi nelayan, Mohd. Pilus Awang, 62, berkata, muara cetek bukan hanya menyukarkan nelayan untuk turun ke laut, malah, turut menjejaskan pendapatan mereka apabila tidak dapat berada lama di laut untuk menangkap ikan kerana bimbang tidak dapat melalui muara sungai apabila air surut.
“Kadangkala, kami hanya berada di laut sekitar tiga hingga empat jam. Walaupun hasil tak banyak, kami kena pulang awal sebelum air laut surut sebab bimbang tak dapat lalu muara sungai.
“Ada juga bot yang rosak terlanggar batu dan beting pasir ketika air surut. Terpaksalah kami tanggung kerugian sendiri,” katanya yang berharap pihak terlibat mengambil tindakan segera.
Sementara itu, calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kemasik, Mohd. Khairi Afiq Mohd. Yusof yang turun padang melihat masalah itu berkata, sekiranya diberi mandat pada PRN 12 Ogos nanti, isu tersebut merupakan antara salah satu perkara yang akan dipandang serius.
“Muara cetek ini bukan hanya menyukarkan pergerakan nelayan, malah menjejaskan pendapatan mereka. Kalau mereka (nelayan) tidak dapat menangkap ikan di laut, sudah pasti sumber makanan kita juga akan terjejas kerana kita juga bergantung kepada nelayan yang menangkap ikan.
“Insya-Allah, saya akan cuba bawa isu ini ke peringkat pusat dan mencari jalan penyelesaian segera,” katanya. -UTUSAN










