Muda tidak bertanding PRK Pulai, Simpang Jeram - Utusan Malaysia

Muda tidak bertanding PRK Pulai, Simpang Jeram

Amira Aisya Abd. Aziz
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) tidak akan bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram, 9 September ini.

Timbalan Presidennya, Amira Aisya Abd. Aziz berkata, keputusan untuk tidak meletakkan calon di kedua-dua kerusi itu dibuat dalam mesyuarat parti yang diadakan, semalam.

Katanya, keputusan itu dibuat di peringkat negeri sebelum  diangkat kepada Biro Politik bersama Presiden dan Naib Presiden.

“Kami mencadangkan agar Muda tidak ambil bahagian dan pihak atasan parti bersetuju dengan cadangan kami,” katanya ditemui selepas menghadiri Kempen Kibar Jalur Gemilang peringkat daerah Johor Bahru di Angsana Johor Bahru Mall, di sini hari ini.

Amira Aisya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Puteri Wangsa berkata, keputusan itu diambil sebagai menghormati penyandangnya, Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub yang disifatkan telah menjalankan amanah dengan baik.

“Sebenarnya dari awal lagi kita memang menghormati Allahyarham kerana Allahyarham telah menjalankan kerja dengan baik.

“Atas dasar hormat itu, sebelum Pilihan Raya Negeri lagi kita sudah adakan perbincangan secara tidak rasmi untuk tidak masuk PRK ini,” katanya.

Amira Aisya turut memberitahu, Muda  belum memutuskan sebarang kerjasama melibatkan pergerakan jentera dengan mana-mana parti lain bagi PRK tersebut.

“Kita belum adakan perbincangan kerjasama lagi dengan mana-mana pihak. Jadi, sama ada kita terlibat atau tidak dalam membantu kempen, kita belum putuskan,” katanya.

Kelmarin, Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Mohamad Sabu mengumumkan pencalonan Suhaizan Kaiat akan mewakili Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi Parlimen Pulai, manakala Nazri Abdul Rahman bertanding di DUN Simpang Jeram.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh penamaan calon bagi PRK Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram pada 26 Ogos, manakala pengundian awal pada 5 September dan hari pengundian pula pada 9 September.

PRK tersebut diadakan ekoran kematian Salahuddin yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup pada 23 Julai lalu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya