PETALING JAYA: Menantu Tan Sri Muhyiddin Yassin dan seorang peguam disenaraikan individu dikehendaki selepas dikenakan notis merah oleh Polis Antarabangsa (Interpol).
Mengesahkan perkara itu kepada Utusan Malaysia, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, tindakan mengenakan notis merah itu dibuat selepas kedua-duanya belum pulang bagi membantu siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
“Ya,sudah. Tindakan notis merah dikenakan terhadap mereka,” katanya di sini, semalam.
Dalam pada itu, satu sumber lain memberitahu, berdasarkan rekod imigresen, menantu Muhyiddin, Datuk Seri Muhammad Adlan dipercayai keluar dari negara ini melalui Johor Bahru ke sebuah negara jiran, Mei lalu.
“Beliau (Muhammad Adlan) kemudian dipercayai telah bergerak ke sebuah lagi negara lain dari situ,” jelasnya.
Pada 15 Ogos lalu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan telah menerima permohonan notis merah secara lisan daripada SPRM terhadap kedua-dua mereka, Muhammad Adlan, 48, dan peguam Mansoor Saat, 69.
Kedua-dua mereka disiasat SPRM berkaitan kes penyelewengan projek pendaftaran pengambilan dan penyimpanan biometrik pekerja asing bagi sebuah kementerian.
Sebelum ini, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki mengumumkan untuk memohon notis merah Polis Antarabangsa (INTERPOL) terhadap dua individu yang dipercayai melarikan diri keluar negara.
Semakan SPRM mendapati kedua-duanya sudah meninggalkan negara, masing-masing pada 17 Mei dan 21 Mei lalu.
Namun, Muhammad Adlan pada 9 Ogos lalu menafikan beliau meninggalkan Malaysia secara sah dan menegaskan tidak pernah ditangkap atau dipanggil SPRM bagi membantu siasatan sebelum ini.
Peguam yang mewakili Muhammad Adlan, Datuk Baljit Singh Sidhu berkata, anak guamnya dihubungi SPRM dan menjawab secara bertulis melalui surat bertarikh 3 Jun lalu dengan menyatakan keluar negeri atas satu urusan dan akan kembali selepas urusan itu selesai.
Malah, Muhammad Adlan juga telah memberikan tarikh bila dia akan kembali ke tanah air, dan terkesan dengan tindakan SPRM memburunya.
Selain beliau, peguam yang juga pengarah dan pemegang saham NERS Sdn. Bhd. (NERS) Mansoor, yang juga dicari SPRM turut menyangkal dakwaan bahawa dia melarikan diri daripada menghadapi pertuduhan.
Mansoor sebaliknya menegaskan bahawa beliau bukan pelarian dan tidak melarikan diri serta sudah memberikan kerjasama kepada SPRM yang mengetahui keberadaannya.
Azam pada 17 Ogos lalu, meminta kedua-dua mereka supaya pulang ke Malaysia dan tidak memberi sebarang alasan lagi.
Azam menegaskan, beliau tetap dengan pendiriannya memohon notis merah kepada mereka sekiranya mereka masih tidak mahu pulang bagi membantu siasatan. – UTUSAN










