KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberitahu, Malaysia mesti meneruskan hubungan baik dengan China dan Amerika Syarikat (AS) dalam bidang geopolitik.
Katanya, hubungan baik itu bagi menggalakkan aturan yang berasaskan peraturan dan norma yang lebih kukuh.
Beliau berkata, aturan itu berdasarkan keadilan, rasa hormat, persefahaman, belas kasihan dan undang-undang antarabangsa, dan bukan berdasarkan kecenderungan untuk mengabai peraturan dan norma apabila ia menyusahkan.
“Ini tidak kondusif dan hipokrit. Kedua-dua China dan AS mengesahkan komitmen mereka terhadapnya. Ia mesti melangkaui urusan perdagangan pelbagai hala ke alam seni bina geostrategik yang praktikal.
“Sememangnya, perlu ada usaha serius untuk memberi kesan kepada istilah-istilah ini. Oleh itu, Malaysia akan melakukan peranannya untuk menggalakkan permuafakatan ini,” katanya dalam ucaptama pada Persidangan Meja Bulat Asia-Pasifik, di ibu negara hari ini.
Program yang berlangsung selama tiga hari bermula Selasa lalu itu bertemakan ‘An Age of Strategic Uncertainty’ yang membincangkan pelbagai isu mengenai geopolitik, keselamatan, ekonomi dan sosio-budaya.
Dalam pada itu, kata Anwar, Malaysia kekal konsisten dengan pendirian mengenai perlindungan kedaulatan, hak dan kepentingan negara di Zon Ekonomi Eksklusif di Laut China Selatan.
Katanya, ini meskipun berhadapan dengan cabaran dan tuntutan, namun, Malaysia kekal berpendirian tanpa goyah selain menyokong penyelesaian secara aman dan membina bagi kesemua pertikaian selaras dengan norma serta prinsip undang-undang antarabangsa yang diiktiraf.
“Di Laut China Selatan, kita melihat unsur-unsur persaingan kuasa besar meresap ke dalam pertikaian wilayah, secara sengaja atau sebaliknya.
“Bagi Malaysia, kami sentiasa menyokong penyelesaian secara aman dan membina selaras dengan prinsip undang-undang antarabangsa yang diiktiraf. Ia termasuk Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu 1982 mengenai Undang-undang Laut,” katanya.-UTUSAN