MUKADIMAH
Penyelesaian masalah banjir, isu miskin bandar dan sebagainya di DUN N.41 Batu Tiga, Shah Alam, Selangor bukan suatu isu baharu, malah sepatutnya menjadi agenda utama dan progres yang seharusnya dititikberatkan oleh mana-mana wakil rakyat yang dipilih.
Bagaimanapun, calon Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) untuk Pilihan Raya Negeri Selangor, SAIYIDAH IZZATI NUR RAZAK MAIDEEN memaklumkan kepada wartawan, MOHAMAD NAUFAL MOHAMAD IDRIS, isu tersebut setakat ini masih belum selesai dan perlu dilaksana dalam pelbagai pendekatan.
Muda ambil langkah berani masuk PRN dan di DUN Batu Tiga, kenapa Batu Tiga?
Ambil keputusan bertanding di sini kerana mahu menjadi suara yang lebih lantang di Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor dan nampak kawasan ini sebelum ini tak dapat selesaikan masalah-masalah di sini dengan tuntas.
Apakah kekuatan Muda dan Cheda dan ia diyakini mampu memberi kelebihan untuk bertanding di Batu Tiga?
Kekuatan Muda adalah majoriti daripada kami adalah terdiri daripada golongan profesional seperti pegum, pegawai perubatan, ahli perniagaan dan lain-lain. Saya sendiri sebagai peguam berjanji akan menyuarakan semua permasalahan mereka sekiranya terpilih menjadi ADUN di sini.
Sehingga hari ini, apa masalah penduduk di sini yang dapat dilihat yang mungkin pemimpin terdahulu gagal tangani?
Banyak isu tapi isu yang paling kritikal adalah isu banjir dan miskin bandar. Banjir kilat sering berlaku di kawasan Batu Tiga, Kampung Kuantan dan Padang Jawa yang masih belum ada jalan penyelesaiannya. Isu miskin bandar pula adalah melihat ramai penduduk di sini yang pendapatannya masih rendah lagi.
Justeru apakah tawaran yang akan diberikan kepada pengundi dan paling penting pengundi muda di Batu Tiga?
Perkara pertama yang saya akan lakukan sekiranya jadi ADUN adalah untuk menyelesaikan isu banjir dahulu. Selepas perihal banjir, baru saya akan cuba selesaikan masalah lain pula kerana isu ini telah berlaku sejak sekian lamanya.
Bagaimana pula dengan manifesto, adakah akan digarap sekali bersama parti?
Manifesto saya seiring dengan manifesto parti cuma saya fokuskan kepada tiga perkara iaitu memperkenalkan strategi tindakan penanganan banjir, memperkasa dan membela hak golongan kurang berkemampuan terutamanya ibu tunggal dan wanita yang ditinggalkan suami serta mengusahakan kembali supaya pilihan raya Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) bagi memilih ahli majlis diadakan semula. -UTUSAN