Lelaki proses air ketum dicekup

Lelaki proses air ketum dicekup

MUHAMAD Zaki Harun (dua kanan) menunjukkan daun ketum yang dirampas semasa sidang media di IPK Kelantan, Kota Bharu, Kelantan hari ini-UTUSAN/KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Kegiatan seorang lelaki yang memproses air ketum sejak beberapa tahun lalu terbongkar selepas sepasukan Batalion 8, Pasukan Gerakan Am (PGA) menyerbu sebuah rumah di Kampung Pek, Machang dekat sini semalam.

Dalam serbuan kira-kira pukul 9 malam itu, suspek yang berusia 53 tahun ditahan selepas menyimpan 750 liter air ketum, 15 kilogram (kg) daun ketum dan peralatan memproses daun ketum tersebut.

Ketua Polis negeri, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, siasatan mendapati, kesemua air ketum itu sudah siap untuk dipasarkan kepada pelanggan.

“Nilai rampasan di dalam rumah itu dianggarkan bernilai RM7,650. Suspek juga mempunyai tiga rekod jenayah lampau berkait kes dadah.

“Siasatan awal mendapati, suspek sudah lama melakukan kegiatan memproses dan menjual air ketum,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini hari ini.

Dalam perkembangan sama, Muhamad Zaki memberitahu, polis turut menahan empat lelaki berusia dalam lingkungan 30 hingga 37 tahun di sebuah rumah di Kampung Batu Sebutir, Pasir Puteh, Isnin lalu.

Katanya, sebanyak 140 liter air ketum, 84 kg daun ketum, 36 liter ubat batuk dan alat pemprosesan bahan terbabit yang bernilai RM3,630 turut dirampas.

“Siasatan lanjut akan diteruskan bagi mengenal pasti sama ada kedua-dua kes itu mempunyai kaitan antara satu sama lain atau tidak.

“Kedua-dua kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952,” ujarnya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN