KAJANG: Seorang ahli perniagaan yang menjadi buruan polis selepas memukul isterinya sehingga mati, didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh mangsa.
Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada Mohamed Imran Mohamed Yunos, 32, selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Syahrul Sazly Md. Sain.
Pengakuan tidak direkodkan berikutan kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mengikut pertuduhan, Mohamed Imran didakwa membunuh Azween Noor Alias, 38, di sebuah unit pangsapuri di Jalan Sutera Pines di sini antara pukul 8 malam dan 10.30 malam pada 22 Julai lalu.
Berikutan itu pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati.
Dalam prosiding hari ini pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Nurul Husna Amran manakala tertuduh diwakili peguam P. Gunalan.
Mahkamah kemudian menetapkan 13 September ini bagi sebutan kes sebelum kes dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.
Pada 1 Ogos lalu, media melaporkan seorang lelaki yang disyaki memukul isterinya pada Julai lalu dengan objek tumpul sehingga meninggal dunia, akhirnya ditahan ketika menyembunyikan diri di Johor.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, suspek yang berusia 32 tahun itu disyaki berada di sana bagi menyembunyikan diri daripada pihak berkuasa.
Media turut melaporkan seorang lelaki diburu selepas disyaki memukul isterinya dengan objek tumpul sehingga meninggal dunia di sebuah pangsapuri, di Sungai Long, di sini pada 21 Julai lalu.
Ekoran kejadian itu, mangsa yang lebam di seluruh anggota badan dan tidak sedarkan diri telah dihantar suspek ke hospital swasta sebelum melarikan diri.
Hasil bedah siasat terhadap mangsa mendapati kesan kecederaan di keseluruhan badan manakala pakar patalogi mengesahkan punca kematian adalah akibat dipukul objek tumpul sehingga mengakibatkan kecederaan dalaman yang serius. -UTUSAN