Konvoi motosikal kelilingi Lipis sempena Hari Kebangsaan - Utusan Malaysia

Konvoi motosikal kelilingi Lipis sempena Hari Kebangsaan

ABDUL RAHMAN Mohamad (tengah) mengetuai konvoi motosikal sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-66 di laluan Kerambit ke bandar Kuala Lipis di Lipis, Pahang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LIPIS: Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad mengetuai konvoi membabitkan 250 buah motosikal anjuran Pemuda UMNO Lipis sempena sambutan Hari Kebangaaan Ke-66 peringkat Parlimen Lipis bermula di Dataran Tok Linggi Kampung Relong di sini hari ini.

Penyelaras konvoi motosikal, Hafizul Rahman Mohamad berkata, perjalanan bermula di Dataran Tok Linggi Kampung Relong menuju ke perhentian pertama, iaitu di kawasan Rawat dan Rehat Benta, kemudian menyambung melalui Jalan Persekutuan Lama Benta-Jerantut dan singgah di perkampungan Melayu Budu, Kampung Kemahang, Kampung Tanjong Besar, Kampung Jerangsang dan di Kampung Kerambit.

“Dari Kampung Kerambit anggota konvoi bergerak menuju ke bandar Kuala Lipis dan perjalanan berakhir di hadapan Wisma UMNO Lipis melibatkan perjalanan sejauh 120 kilometer dengan mengambil masa selama tiga jam.

“Sepanjang berkonvoi, Abdul Rahman dan peserta berjumpa penduduk serta beramah mesra sambil menyampaikan Jalur Gemilang bagi menzahirkan semangat patriotik dan perpaduan madani,” katanya di bandar Kuala Lipis di sini hari ini.

Dalam pada itu, Abdul Rahman yang juga Ahli Parlimen Lipis berkata, konvoi motosikal sempena Hari Kebangsaan Ke-66 tahun ini menzahirkan semangat jati diri dan patriotisme anak muda yang terdiri daripada Pemuda UMNO Lipis dan pertubuhan bukan kerajaan di sini.

“Program ini cukup signifikan bagi menyedarkan anak muda tentang erti kemerdekaan berasaskan perjuangan diwarisi oleh negarawan terdahulu termasuk orang-orang tua sekali gus mengeratkan perpaduan bagi mencongak harapan ke arah pembangunan selari dengan aspirasi tema sambutan tahun ini,” katanya.

Beliau berkata, program itu diterima baik dengan penuh semangat oleh kalangan anak muda termasuk penduduk yang ditemui sepanjang laluan berkonvoi dengan harapan negara ini bertambah maju menerusi kekuatan serta kemahiran pelbagai bidang untuk mencanai pembangunan negara pada masa akan datang.

Sementara itu, peserta konvoi, Amir Marwan Abu Kasim menambah, dia berbangga dan semangat berkobar-kobar ketika diajak untuk berkonvoi motosikal sempena hari kemerdekaan tahun ini.

“Saya membuat persiapan hampir seminggu memastikan enjin motosikal sempurna untuk perjalanan jauh mengelilingi daerah ini di samping memasang beberapa Jalur Gemilang di kenderaan ini,” katanya.

Ujarnya, program itu cukup bermakna bagi menyemarakkan sambutan hari kemerdekaan dan diharap dapat diteruskan pada tahun depan dengan melibatkan lebih banyak penunggang motosikal kalangan penduduk Lipis. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya