PETALING JAYA: Kertas Putih berhubung pelaksanaan Dasar Gaji Progresif akan dibentangkan dalam sidang khas Parlimen, bulan depan.
Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, beliau membentangkan kertas Dasar Gaji Progresif kepada Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) hari ini untuk kelulusan yang dilihat menjadi dasar pasaran buruh yang mampu menaikkan gaji pekerja secara sistematik.
Katanya, dasar ini adalah bersifat sukarela, berteraskan insentif dan terkait dengan produktiviti.
“Sesi libat urus dan tinjauan awal menunjukkan sebanyak 62 peratus pekerja dan 80 peratus syarikat menyambut baik cadangan Dasar Gaji Progresif,” katanya dalam Twitter beliau hari ini.
Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Dasar Gaji Progresif yang merupakan satu anjakan ke arah memulihkan pasaran pekerja supaya gaji dapat ditingkatkan dengan lebih konsisten di samping pengagihan lebih seimbang adalah bersifat sukarela, berteraskan insentif dan terkait dengan produktiviti.
Anwar berkata, langkah selanjutnya adalah sesi perbincangan dan libat urus dengan pihak berkepentingan terutamanya para pemain industri, perniagaan dan pekerja.
Katanya, perkara ini akan dibawa ke Jemaah Menteri bagi memperhalusi mekanisme pelaksanaan secara berperingkat dan meneroka keperluan untuk memperuntukkan dana sebagai insentif dasar ini yang akan ditentukan berdasarkan kedudukan kewangan kerajaan dan keperluan dasar.
Pada masa sama, Rafizi berkata, tujuan Dasar Gaji Progresif adalah jelas setelah Jabatan Perangkaan Malaysia pada minggu lalu melaporkan data gaji pekerja yang sangat membimbangkan.
“Lebih dua juta pekerja bergaji kurang daripada RM2,000. Gaji penengah di sembilan negeri tidak melebihi RM2,000. Isu gaji ini berlarutan selama berdekad-dekad. Satu perubahan yang drastik sangat diperlukan.
“Insya-Allah dengan Dasar Gaji Progresif, kita boleh mengambil langkah pertama untuk mereformasikan struktur gaji rakyat yang akan menaiktaraf kehidupan rakyat Malaysia,” katanya.-UTUSAN