Kerajaan Negeri bakal bangunkan Pusat Kelestarian Johor

Kerajaan Negeri bakal bangunkan Pusat Kelestarian Johor

HASNI ditemui pemberita selepas penutupan Malaysia SDG Summit 2023-2024 Iskandar Malaysia, di Iskandar Puteri, Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISKANDAR PUTERI: Inisiatif kerajaan negeri yang akan membangunkan Pusat Kelestarian Johor dilihat mampu memacu agenda kelestarian negeri serta di peringkat serantau.

Pengerusi Pejabat Ekonomi, Pelancongan dan Kebudayaan Johor (JETCO) di Singapura, Datuk Hasni Mohammad berkata, peranan Pusat Kelestarian Johor itu menjalin lebih banyak peluang kolaborasi dan hubungan kerjasama dengan negara maju termasuk di Eropah yang menguasai teknologi hijau dan tenaga boleh diperbaharui.

Beliau berkata, inisiatif kerajaan negeri itu juga adalah selari dengan pelaksanaan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga (NETR) yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini.

“Secara dasarnya, kerajaan negeri bersetuju Pusat Kelestarian Johor ini ditubuhkan dan JETCO berperanan sebagai pemudahnya, apabila ia ditubuhkan secara rasmi, kita tidak akan melengahkan untuk melaksanakan inisiatif ini.

“Johor perlu membuat persediaan untuk menyambut sepenuhnya NETR, kita juga berada di kedudukan yang strategik dan pusat ini dapat berperanan dalam menjalin lebih banyak kerjasama dan kolaborasi, bukan sahaja di Singapura, tetapi negara maju lain,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di Malaysia SDG Summit 2023-2024 Iskandar Malaysia, di sini semalam.

Yang turut hadir ialah Timbalan Menteri Ekonomi Datuk Hanifah Hajar Taib dan Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Johor Lee Ting Han.

Bulan lalu, Perdana Menteri dilaporkan berkata, Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) bersetuju untuk mempercepat inisiatif NETR sebagai pemangkin kepada strategi mengangkat negara sebagai peneraju serantau dalam tenaga boleh baharu.

Anwar berkata, Projek Flagship Rintis dan inisiatif NETR bagi meningkatkan penyertaan industri mengenai hala tuju baharu kerajaan dalam meneroka sumber tenaga baharu dan membentuk permintaan pasaran serta mengenal pasti sumber kewangan untuk menangani jurang pembiayaan bagi projek tersebut.

Jelasnya, Fasa Pertama NETR akan mengetengahkan 10 projek rintis perdana yang strategik dan bernilai tinggi sebagai langkah pelaksanaan Dasar Tenaga Negara 2022-2040 dengan jangkaan pelaburan bernilai RM25 bilion.

Mengulas lanjut, Hasni berkata, penubuhan Pusat Kelestarian Johor itu antara lain menjadi nilai tambah dalam usaha menarik pelaburan asing ke negeri ini.

“Kerajaan negeri amat proaktif dalam menarik pelaburan dan saya turut terlibat dalam menyertai lawatan pelaburan ke negara-negara seperti di China dan negara-negara Eropah.

“Dengan adanya Pusat Kelestarian Johor ini, ia akan meletakkan kita sebaris dengan negara yang jauh lebih membangun. Jika kita tidak menuju ke arah kelestarian dan penggunaan teknologi hijau, maka ia akan menjadi cabaran kepada kita untuk menarik pelaburan,” katanya. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN