KOTA BHARU: Kerajaan negeri Kelantan akan memberi tumpuan menyelesaikan masalah bekalan air yang akan dibuat secara berperingkat-peringkat.
Menteri Besar Kelantan, Mohd. Nassuruddin Daud berkata, usaha tersebut akan menjadi fokus utama selain tumpuan dalam pengukuhan sektor ekonomi di negeri itu.
“Memang semua tahu kita (Kelantan) berdepan dengan masalah air, negeri lain pun ada juga. Oleh itu, kita (Kelantan) akan merapatkan hubungan dengan Kerajaan Persekutuan.
“Langkah ini selari dengan semangat federalisme dan kita akan penuhi kebajikan rakyat,” katanya pada sidang media selepas pengumuman portfolio Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (Exco) Negeri Kelantan di sini, semalam.
Mohd. Nassuruddin berkata, beliau juga akan memberikan tumpuan dalam sektor ekonomi melalui pengukuhan dalam perkara utama iaitu pelabuhan, lapangan terbang antarabangsa dan jaringan lebuh raya dan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).
Selain itu, katanya, kerajaan negeri juga sedia meningkatkan hasil pengeluaran sumber asli terutama mineral dan memanfaatkan kepakaran anak-anak Kelantan dalam mengukuhkan hubungan strategik dengan pihak luar.
“Ia melibatkan bidang pendidikan dan ekonomi,” ujarnya.
Mohd. Nassurudin berkata, beliau juga akan mengadakan kunjungan hormat ke atas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam masa terdekat.
Sementara itu, beliau berkata, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang di Kelantan dari Kota Lama dan Galas akan diberikan peruntukan yang sama sebagaimana diperoleh wakil rakyat kerajaan.
Katanya, pendekatan itu bagi menghormati keputusan yang dibuat oleh rakyat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu.
“Kita akan berlaku adil (agihan peruntukan) kepada semua termasuk wakil rakyat pembangkang.
“Walaupun aliran politik berbagai-bagai tetapi PRN sudah selesai. Yang ada wakil rakyat, wakil kepada rakyat. Maka kita akan beri peruntukan sama rata,” katanya.
Pada PRN lalu, Pas yang menganggotai Perikatan Nasional (PN) bersama Bersatu menang di 43 daripada 45 kerusi DUN manakala satu kerusi masing-masing dimenangi oleh Pakatan Harapan (Kota Lama) dan Barisan Nasional (BN). – UTUSAN










