Keputusan PRN tidak gugat kerajaan Pusat - Utusan Malaysia

Keputusan PRN tidak gugat kerajaan Pusat

Apa juga keputusan PRN di enam negeri pada 12 Ogos ini, ia tidak mengugat kerajaan Pusat. - Gambar hiasan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Apa juga keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri pada 12 Ogos ini tidak akan menggugat kedudukan Kerajaan Persekutuan meskipun pembangkang sengaja menimbulkan persepsi negatif berhubung keutuhan kerajaan semasa sejak akhir-akhir ini.

PRN hanya membabitkan pemilihan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) bagi membentuk kerajaan negeri di Kelantan, Terengganu, Kedah, Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang.

Sebaliknya, desas-desus pertukaran kerajaan  boleh menjejaskan kestabilan negara, merencatkan pertumbuhan ekonomi, mengundang ketidakyakinan pelabur dan memberi sentimen negatif kepada ekonomi negara.

Dalam keadaan ekonomi negara yang masih dalam proses pemulihan, tindakan memainkan persepsi itu boleh dianggap sebagai tidak bertanggungjawab, tidak sihat dan wajar ditolak pengundi.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pensyarah Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Dr. P. Sivamurugan berkata, perlu diingat, kerajaan Pusat yang dibentuk selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) November tahun lalu hasil gabungan Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN), Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mempunyai sokongan kukuh 148 ahli parlimen.

Menurut beliau, seandainya PH dan BN memperoleh keputusan kurang memberangsangkan sekali pun, kepemimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim di peringkat Pusat kekal utuh.

Malah, kata beliau, kepemimpinan Perdana Menteri pernah diuji dengan undi percaya dan beliau berjaya membuktikan memperoleh sokongan dua pertiga dalam kalangan ahli-ahli Dewan Rakyat.

BERBANDING

“Kerajaan Pusat hari ini memiliki sokongan besar iaitu 148 ahli parlimen, berbanding sebelum PRU15 dengan majoriti tipis yang mendorong berlakunya tarikan sokongan dan menyebabkan kejatuhan kerajaan.

“Sudah pasti pihak lawan, yang merasakan sokongan memihak kepada mereka, akan mencetuskan persoalan kepada kedudukan kerajaan Pusat selepas keputusan PRN nanti, namun, ia tidak ada mengubah apa-apa kecuali ada usul undi tidak percaya kelak,” katanya.

Sebelum ini, Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pihaknya mahu menang semua negeri sebagai satu referendum penolakan kepada Kerajaan Perpaduan yang didakwanya gagal menangani beban kos sara hidup rakyat.

Bagaimanapun, Anwar men­cabar pembangkang untuk mengemukakan usul undi ti­dak percaya terhadapnya da­lam sidang Dewan Rakyat akan datang di samping menjamin perkara itu tidak akan ditolak oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat.

Malah, GPS dan GRS sudah memberi jaminan akan terus menyokong dan mempertahankan Kerajaan Perpaduan walaupun apa pun keputusan PRN kelak.

KEHIDUPAN

Kata Sivamurugan, pembangkang seharusnya memikirkan masa depan negara dan kehidupan rakyat berbanding terus mencetuskan suasana yang boleh menghakis keyakinan pelabur yang boleh membawa kepada kesan buruk kepada ekonomi termasuk kejatuhan ringgit.

“Akta Anti Lompat Parti dilihat dapat memberi jaminan kepada keutuhan Kerajaan Perpaduan kerana berupaya mengekang tindakan mana-mana Ahli Dewan Rakyat di pihak kerajaan yang cuba menarik sokongan.

“Kegagalan mereka mematuhi arahan parti agar terus menyokong kerajaan boleh menyebabkan kedudukan sebagai ahli Parlimen tergugur sekali gus membuka laluan pilihan raya kecil (PRK).

“Namun, saya percaya ini mustahil berlaku kerana mereka perlu melalui jalan sukar iaitu berdepan pilihan raya dan kemungkinan kemarahan rak­yat, sekaligus tidak menjamin kemenangan semula dalam PRK,” katanya.

Justeru, kata Sivamurugan, Anwar perlu melakukan satu perubahan termasuk rombakan Kabinet selepas PRN dengan mengambil langkah untuk memulihkan keyakinan rakyat terhadap parti-parti yang mendukung Kerajaan Perpaduan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×