Kelantan dianaktiri Pusat: Syahir terkhilaf, hujah tanpa fakta - Utusan Malaysia

Kelantan dianaktiri Pusat: Syahir terkhilaf, hujah tanpa fakta

ANWAR Ibrahim ketika menyampaikan ucap tama pada Persidangan Meja Bulat Asia-Pasifik, di ibu negara, hari ini. - UTUSAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Bachok,  Mohd. Syahir Che Sulaiman yang mendakwa Kelantan dianaktiri Pusat   terkhilaf  dan berhujah tanpa fakta kerana negeri itu diberi peruntukan terbesar berbanding negeri-negeri lain.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Mohd. Syahir sepatutnya bertanya bagaimana pengurusan kerajaan negeri itu selama ditadbir Pas. 

“Mohd. Syahir terkhilaf dalam hujahnya selain tidak berpandukan fakta. Ini kerana di bawah Kerajaan Perpaduan, Kelantan mendapat peruntukan lebih tinggi berbanding negeri-negeri lain,” katanya kepada pemberita selepas selesai menyampaikan ucaptama pada Persidangan Meja Bulat Asia-Pasifik, hari ini.

Menurut beliau, antara bantuan Pusat kepada Kelantan turut meliputi masalah tebatan banjir dan memberi air. 

“Tebatan air bersih, pembangunan negeri malah peruntukan yang diberi oleh Kerajaan Perpaduan adalah lebih banyak berbanding diberi oleh Perikatan Nasional (PN) semasa menjadi kerajaan.  

“Sepatutnya, sebagai pemimpin muda patut lebih berani membetulkan masalah dalaman di samping memberi cadangan. Semua cadangan penting kerajaan Kelantan saya telah terima. 

“Jadi, di manakah yang dikatakan Kelantan dianaktirikan?” katanya.

Semasa Debat Model Baharu Ekonomi Malaysia antara Mohd. Syahir dan Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli yang disiarkan secara langsung malam tadi, pemimpin Pas itu mendakwa Kelantan menjadi negeri miskin kerana dianaktiri oleh Kerajaan Persekutuan. 

Mohd. Syahir berhujah, ia disebabkan isu ‘federalisme’ menyaksikan beberapa hak Kelantan dinafikan termasuk royalti disebabkan perbezaan pentadbiran antara kerajaan Persekutuan dan negeri.

Bagaimanapun, Rafizi membidas dakwaan tersebut dengan memberitahu Kelantan menerima peruntukan besar daripada kerajaan Persekutuan. 

Pun begitu, katanya, negeri itu kekal miskin disebabkan pentadbiran kerajaan negeri yang tidak cekap. – UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya