KOTA BHARU: Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN) menjadikan program Jelajah Merdeka 2023 dan Kibar Jalur Gemilang sebagai serampang dua mata mendekati serta berkomunikasi secara terus dengan pemain industri dan kumpulan sasar dalam penanaman kenaf di negara ini.
Pengerusinya Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah berkata, ruang tersebut sangat penting untuk pihaknya mendapatkan pandangan serta cadangan bagi penambahbaikan dasar industri kenaf, sekali gus pemantapan organisasi LKTN.
“Industri kenaf berpotensi besar untuk dibangunkan sebagai salah satu sumber ekonomi mampan negara dan LKTN sentiasa merancang serta melaksana program dan inisiatif bagi memperkasakannya,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas majlis perasmian program Jelajah Merdeka dan Kibar Jalur Gemilang di pekarangan ibu pejabat LKTN, di sini hari ini.
Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Lama, Dr. Hafidzah Mustakim dan Ketua Pengarah LKTN, Idris Mohd. Salleh.
Wan Abdul Rahim memberitahu, jelajah Merdeka LKTN akan melibatkan jarak sekitar 400 kilometer dari Kota Bharu ke Alor Setar, Kedah.
Katanya, ia akan turut melibatkan beberapa ‘check-point’ seperti Tadika Kemas Bukit Tandak di Rantau Panjang, Stesen Petronas Jeli dan kawasan perkelahan awam di Gunung Reng, Jeli.
“Kita telah merangkan beberapa aktiviti sebagai pengisian program di sepanjang perjalanan seperti sesi ramah mesra bersama masyarakat setempat, kursus usahawan kenaf, pameran, jualan rahmah dan sebagainya.
“Selain merapatkan hubungan LKTN dengan masyarakat serta pemain industri kenaf, program ini secara tidak langsung dapat memupuk semangat perpaduan tanpa mengira latar belakang agama, warna kulit, pangkat atau darjat,” ujarnya.-UTUSAN










