JOHOR BAHRU: Calon Pakatan Harapan (PH) Parlimen Pulai, Suhaizan Kayat meminta para pengundi di kawasan itu menghadiahkan kemenangan kepadanya dengan majoriti selesa pada 9 September ini.
Bekas Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor berkata, kemenangan itu akan memberi signal bahawa kerajaan perpaduan ditadbir PH dan Barisan Nasional (BN) adalah kerajaan yang stabil dan pengundi di Pulai tidak boleh memandang mudah setelah kemenangan dengan majoriti besar pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu.
“Kita tidak mahu pengundi berfikiran bahawa tidak jadi masalah kalau tak keluar mengundi, sebabnya dulu PH menang dengan majoriti lebih 33,000 undi.
“Kita juga tidak mahu menang dengan majoriti yang kurang, nanti Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin cakap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sudah hilang sokongan di Pulai sebab majoriti yang sedikit. Kita tak mahu dia mendabik dada seperti itu.
“Oleh itu, pengundi perlu laksana tanggungjawab dan menghadiahkan kemenangan yang meyakinkan pada 9 September ini, supaya kerajaan perpaduan kekal dengan kekuatan dua pertiga di Parlimen,” katanya dalam pada ceramah Perpaduan Pulai di Nusa Bestari, di sini.
Dalam pada itu, Suhaizan yang juga Setiausaha Politik kepada Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub mahu meneruskan legasi sifunya itu yang meninggal dunia pada pada 23 Julai lalu.
“Beliau pernah berpesan kepada saya untuk menyantuni pengundi di kawasan Parlimen Pulai, saya akan pegang kata-kata itu dan meneruskan kerja bakti yang ditinggalkan Allahyarham.
“Saya berharap pengundi di sini dapat merealisasikan hasrat itu, jangan pernah rasa penat nak keluar mengundi dan perlu memberi sokongan kepada kerajaan perpaduan ini menjadi lebih stabil,” katanya. – UTUSAN