Isu pemilikan sukarkan naik taraf longkang di Melaka

Isu pemilikan sukarkan naik taraf longkang di Melaka

HAMEED Mytheen Kunju Basheer (tengah) dalam Sidang DUN Melaka di Seri Negeri, Ayer Keroh, Melaka.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Isu pemilikan tanah dikenal pasti antara faktor yang menyukarkan kerja-kerja menaik taraf dan penyelenggaraan longkang tanah di Melaka.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer berkata, agensi-agensi seperti Jabatan Kerja Raya (JKR) dan pejabat daerah tidak dapat meneruskan kerja, selagi isu pemilikan tanah tidak diselesaikan.

Menurut beliau, pertambahan rumah-rumah kampung yang dibina tanpa kebenaran merancang turut mengganggu proses berkenaan.

“Terdapat pelbagai agensi yang bertanggungjawab untuk menaik taraf longkang tanah iaitu JKR, pejabat daerah dan pihak berkuasa tempatan (PBT). Longkang di jalan kampung diselenggara pejabat daerah manakala jalan negeri dan Persekutuan diuruskan JKR dan PBT di taman perumahan.

“Permohonan kebenaran daripada pemilik tanah perlu diperolehi terlebih dahulu. Jika tidak mendapat kebenaran maka agensi yang terlibat sukar untuk melaksanakan kerja-kerja penyelenggaraan dan menaik taraf daripada longkang tanah kepada longkang konkrit.

“Pertambahan rumah kampung yang tidak mendapat kebenaran merancang serta keengganan tuan tanah untuk membenarkan tanahnya dibuat longkang untuk menerima air buangan turut memberi cabaran kepada kerja-kerja pembaikan,” katanya dalam sesi pertanyaan lisan Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka di Seri Negeri, Ayer Keroh di sini, hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Siti Faizah Abd. Azis (BN-Sungai Rambai) mengenai isu-isu utama yang menghalang sesuatu cadangan pembaikan longkang tanah.

Dalam pada itu, menjawab soalan tambahan Mohd. Noor Helmy Abdul Halem (BN-Duyong) berhubung kaedah terbaik untuk mengenal pasti tanggungjawab penyelenggaraan longkang, Hameed Mytheen berkata, terdapat usaha mewujudkan pengkalan data yang mengandungi pelbagai maklumat berkaitan saliran di negeri ini.

Katanya, pihaknya bersama Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) sedang merancang untuk merealisasikan inisiatif berkenaan.

“UTeM sedang membuat kajian pengkalan data bagi keseluruhan sistem saliran di Melaka yang mengandungi maklumat lengkap seperti lokasi, panjang, kelebaran, kedalaman dan agensi pemilik. Cadangan tersebut dalam peringkat perbincangan awal antara agensi-agensi yang terlibat.

“Sekiranya mendapat maklum balas positif maka kita akan bawa kepada kerajaan negeri untuk dipertimbangkan. Jika pengkalan data ini dapat diwujudkan maka kita akan tahu siapa pemilik longkang-longkang tersebut sekali gus memudahkan pengurusannya,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN