Iman didera hampir setiap hari - Jiran - Utusan Malaysia

Iman didera hampir setiap hari – Jiran

WAN NOOR BADRI WAN YAHYA (kiri) dan Firdaus menunjukkan kediaman pasangan yang dipercayai mendera kanak-kanak berusia 7 tahun di Bandar Layangkasa, Pasir Gudang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Seorang kanak-kanak dikenali sebagai Iman, 7, disyaki didera hampir setiap hari oleh ibu kandung dan rakan ‘tomboy’ yang merupakan seorang warga asing di kediaman mereka di Bandar Layangkasa, Pasir Gudang, di sini.

Seorang jiran, Wan Noor Badri Wan Yahya, 38, mendakwa, dia dan isterinya dapat mendengar perbuatan tersebut hampir setiap hari, khususnya dalam tempoh dua minggu kebelakangan ini.

Katanya, pasangan itu yang mendakwa sebagai suami isteri baharu berpindah ke kediaman tersebut pada April lalu.

“Pada mulanya mereka kelihatan seperti keluarga biasa, cuma Iman tidak dibenarkan bermain di luar rumah, sebaliknya hanya di kawasan tempat letak kereta.

“Namun, pada akhir Jun lalu, Iman terlepas bermain sehingga di luar kawasan taman perumahan, menyebabkan pasangan itu lebih marah, sejak itu dia lebih kerap dimarah.

“Mula-mula kami ingat itu bertujuan untuk mendidiknya, tetapi selepas hampir setiap hari dimarahi, jiran-jiran mula berasa sangsi, sebelum akhirnya pada malam Jumaat lalu kami membuat keputusan untuk menyerbu rumah tersebut,” katanya ketika ditemui media, hari ini.

Wan Noor Badri berkata, selepas diserbu baharulah rahsia terbongkar bahawa Iman telah menjadi mangsa penderaan, dipercayai oleh ‘suami’ keluarga berkenaan.

“Malah,, rahsia pasangan itu bahawa si ‘suami’ merupakan seorang tomboy juga terbongkar,” katanya yang mempunyai dua orang anak.

Seorang lagi jiran, Firdaus Abu Hassan, 30, pula mengakui tidak menyangka perkara sedemikian boleh berlaku di kawasan kediaman mereka.

“Ketika kediaman itu diserbu, kami dapat lihat beberapa kesan luka di badan iman, antaranya luka lama di bahagian kaki, luka pada tangan serta luka baharu di belakang badannya.

“Selama ini, semua penduduk di sini mempunyai hubungan yang akrab. Jadi, memang tak sangka ada kes seperti ini berlaku dan kami bersyukur kerana dapat bantu selamatkan Iman daripada terus menjadi mangsa penderaan,” ujarnya.

Semalam, Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat memberitahu, pihak polis telah menahan reman pasangan tersebut bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak Kanak 2001.

Ibu mangsa yang berusia 27 tahun direman enam hari, manakala rakannya yang berperwatakan tomboy berusia 30 tahun direman selama tujuh hari. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya