Dr. Mazri yakin, Zulkifli tekad kerja keras - Utusan Malaysia

Dr. Mazri yakin, Zulkifli tekad kerja keras

ZULKIFLI JAAFAR ( kanan) dan Dr. Mohd. Mazli Yahya (kiri) diumumkan sebagai calon PN di kerusi Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram pada PRK 9 September ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Calon Perikatan Nasional (PN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram, Dr. Mohd. Mazri Yahya, 54, optimis peluang memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) kali ini lebih cerah.

Beliau yang juga Ahli Jawatankuasa (AJK) Pas Pusat mengakui bersetuju dengan pilihan parti yang mahukannya bertanding, sekali gus dapat berkhidmat kepada masyarakat di Simpang Jeram jika diberi peluang oleh pengundi.

“Saya tidak merancang untuk bertanding pada PRK tapi sebagai ahli Pas dan AJK Pas Pusat yang setia pada parti, saya akur mengikut arahan kepimpinan parti untuk bertanding di Simpang Jeram.

“Pada mulanya, perasaan itu berbelah-bahagi, tapi atas dasar tanggungjawab kepada parti, saya rasa perlu (bertanding), insya-Allah akan cuba sempurnakan amanah ini.

“Saya berharap agar masyarakat di Simpang Jeram dapat menerima saya dan cuba sumbang  yang terbaik kepada masyarakat di sana,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Terdahulu Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan Dr. Mohd. Mazri sebagai calon DUN Simpang Jeram, manakala Zulkifli Jaafar sebagai calon di Parlimen Pulai.

Yang turut hadir Ketua Penerangan PN, Datuk Seri Azmin Ali; Presiden Gerakan, Datuk Dr. Dominic Lau dan Pesuruhjaya Pas Johor, Abdullah Hussin serta Pengerusi PN Johor, Datuk Dr. Sahruddin Jamal.

Mengulas lanjut, Dr. Mohd. Mazri yakin gabungan politik antara Bersatu, Pas dan Gerakan berpeluang lebih cerah untuk memenangi kedua-dua kerusi tersebut pada PRK ini.

Beliau yang pernah bertanding di kerusi DUN Simpang Jeram pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) menentang Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, suasana politik ketika ini jauh berbeza berbanding dahulu.

“Suasana berbeza antara PRU14, PRU15 dan PRK. Mudah-mudahan PRK ini dengan suasana berbeza ini dapat kekalkan momentum PN di Johor,” katanya.

Sementara itu, Zulkifli, 50, yang merupakan muka baharu bertekad untuk bekerja keras menarik sokongan pengundi dan menyifatkan tidak mustahil untuk mencatatkan kemenangan di Parlimen Pulai.

“Kita kena kerja kuat, tiada apa yang tak boleh diusahakan jika kerja kuat. Insya-Allah, kita akan berusaha bersungguh-sungguh,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN