SEREMBAN: Kebersamaan di antara kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan merupakan elemen penting dalam memastikan momentum pembangunan dapat dikecapi rakyat selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) diadakan.
Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, atas dasar itu BN dan Pakatan Harapan (PH) mengambil pendekatan strategi retain (mengekalkan) tiga buah negeri iaitu Negeri Sembilan, Selangor dan Pulau Pinang manakala regain (mendapatkan semula) bagi tiga negeri buah negeri lain iaitu Kelantan, Terengganu dan Kedah dalam PRN kali ini.
“Tidak ada salahnya untuk kita mencuba, boleh jadi untung sabut timbul, untung batu tenggelam. Setiap pilihan raya ia adalah pilihan raya yang berbeza, permainan bola pun berbeza setiap kalinya, boleh jadi kita dapat sepakan penalti di akhir masa.
“Di Kedah kita dapat penalti, di Terengganu kita dapat penalti boleh menang, yang penting kita cuba dan yang paling penting kita pastikan rakyat dapat memahami apa yang mahu kita bawa jika diberi peluang mentadbir negeri-negeri tersebut,” katanya ketika ditemui pada Majlis Pemimpin Bersama Masyarakat Melayu, Cina Dan India di Kuala Sawah, Rantau hari ini.
Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai potensi kemenangan di Negeri Sembilan, Mohamad memberitahu, Kerajaan Perpaduan dapat dibentuk di negeri ini.
“Walaupun itu hari kami (BN) tidak bersama dalam kerajaan (negeri) tetapi kami merupakan yang friendly untuk kerajaan sedia ada, kerana waktunya terlalu pendek untuk kita ubah kerajaan ketika itu.
“Kita tunggu sehingga pilihan raya diadakan walaupun BN ditawarkan dua kerusi Exco tetapi kerana sudah hampir PRN, tidak perlu kita ubah apa-apa, insya-Allah selepas PRN, kami sama-sama tubuh kerajaan sama haluan dengan Kerajaan Pusat,” katanya.
Sementara itu, ketika ditanya pemberita mengenai gesaan Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Hamzah Zainudin supaya ahli UMNO menyokong PN, Mohamad memberitahu bahawa beliau juga mahu membuat permintaan sebaliknya.
“Dia boleh minta lah, minta tu tidak apa, sama ada dia bagi atau tidak itu perkara lain. Saya pula nak minta pula supaya ahli PN sokonglah BN dan juga Kerajaan Perpaduan, kita sama-sama mintalah.
“Ini tugas kita masa kempen ini minta-meminta, pujuk-memujuk, rayu-merayu agar di situ nanti kita boleh terangkan kepada rakyat, kepada pengundi perbezaan jika kita meneliti kedua-dua parti yang bertanding,” katanya.-UTUSAN.