JOHOR BAHRU: Yang Dipertua Persatuan Keselamatan Pengguna Kuala Lumpur (PKPKL), Samsudin Mohamad Fauzi turut hadir mengemukakan borang pencalonan sebagai calon Bebas dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai.
Beliau merupakan yang pertama tiba di pusat penamaan calon di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, di sini pada pukul 8.35 pagi.
Samsudin diiringi penyokong, Mohd. Fauzan Rahmat dan pencadang, Azmeir Khan Omar.
Tidak lama kemudian, calon Pakatan Harapan (PH) dari Parti Amanah Negara (Amanah), Suhaizan Kaiat tiba di Pusat Penamaan calon diikuti calon Perikatan Nasional (PN), Zulkifli Jaafar.
Keadaan cuaca di pusat penamaan calon cerah.
Parlimen Pulai mempunyai seramai 167,108 pengundi terdiri daripada 74,814 Melayu atau 44.17 peratus, Cina 67,635 (40.48%), India 20,555 (12.30%) serta Lain-lain kaum 5,104 (3.05%).
PRK tersebut diadakan ekoran kematian penyandangnya, Datuk Seri Salahuddin Ayub yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup pada 23 Julai lalu. – UTUSAN