MUAR: Kemenangan di Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) 9 September ini adalah bukti gelombang Perikatan Nasional (PN) sudah menular dengan menjadikan daerah Muar sebagai pintu masuk ke negeri ini.
Pengarah Pilihan Raya PN, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, untuk membuktikannya, kedua-dua kerusi tersebut harus dimenangi oleh calon PN.
Katanya, semua anak muda perlu memberikan sokongan kepada kedua-dua calon selain pengundi Melayu yang merasakan bahawa mereka perlu bersama PN
“Aura kemenangan yang dilihat berlaku di Simpang Jeram dan Pulai adalah penentu sebagai isyarat penting kebangkitan rakyat berlaku di negeri ini.
“Namun apa yang penting adalah rakyat perlu menghentikan kerakusan kerajaan perpaduan kepada rakyat negara ini,” katanya ketika melancarkan Jentera Pilihan Raya dan Pengenalan Calon di Markas Tarbiyah Pas Kawasan Bakri, sebentar tadi.
Yang turut hadir, Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man; Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan Naib Presiden Pas Datuk Seri Dr. Samsuri Mokhtar.
Sementara itu, Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Johor, Datuk Dr. Shahrudin Jamal berkata, hasil daripada pemerhatian sejak Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri baru-baru ini mendapati lebih 80 peratus orang Melayu dan kira-kira lima peratus bukan Melayu memberikan sokongan kepada parti itu.
“Oleh yang demikian kita harus bekerja tanpa mengira masa sama ada siang atau malam dengan menggembleng tenaga menemui secara dekat 40,379 pengundi berdaftar di DUN Simpang Jeram,” katanya. – UTUSAN