Armizan ketuai Op Tiris tumpaskan sindiket seleweng diesel - Utusan Malaysia

Armizan ketuai Op Tiris tumpaskan sindiket seleweng diesel

ARMIZAN MOHD. ALI (kanan) mengetuai Op Tiris yang dijalankan KPDN Putrajaya di sebuah premis di Taman Perindustrian Plentong, Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Satu sindiket penyelewengan minyak diesel bersubsidi di sebuah premis di Taman Perindustrian Plentong, Masai, di sini ditumpaskan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), malam tadi.

Pemangku Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd. Ali berkata, Op Tiris  pada pukul 8.10 malam itu yang dijalankan pihaknya itu hasil intipan selama enam bulan.

“Dalam operasi berkenaan, seorang lelaki berusia 37 tahun yang mengaku sebagai pemandu treler ditahan bagi membantu siasatan.

“Hasil pemeriksaan menemukan minyak diesel berjumlah 47,540 liter. Turut dirampas lori tangki, dua buah lori dan sebuah kenderaan pacuan empat roda bernilai keseluruhan RM267,457,” katanya selepas mengetuai operasi tersebut.

Armizan berkata, modus operandi sindiket terbabit adalah dengan mengisi minyak di beberapa stesen minyak di sekitar Pasir Gudang ke dalam lori sebelum dihantar ke stor haram berkenaan untuk dijual.

“Kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961 bagi mengenal pasti individu atau syarikat yang terlibat dalam aktiviti ini.

“Siasatan turut dibuat bagi memastikan rantaian pengedaran minyak diesel tersebut, iaitu ke mana ia diedarkan,” katanya sambil meminta orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti penyelewengan boleh menyalurkan aduan menerusi aplikasi WhatsApp 019-2794317 dan 019-848 8000 atau membuat panggilan ke 1-800-886-800. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN