Anwar harap Ramasamy terus bantu kerajaan walau keluar parti 

Anwar harap Ramasamy terus bantu kerajaan walau keluar parti 

P. RAMASAMY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim berharap pemimpin DAP, Dr. P. Ramasamy yang keluar parti berkuat kuasa hari ini akan terus memainkan peranan membantu kerajaan di bawah pendekatan dan gagasan Malaysia Madani. 

Perdana Menteri percaya, keputusan bekas Timbalan Ketua Menteri II dan Timbalan Pengerusi DAP Pulau Pinang itu berkaitan masalah dalaman parti.  

“Ramasamy sahabat saya dan tentunya beliau dapatkan pandangan terlebih dulu dan saya faham keadaan itu yang ada masalah khusus dalam parti.

“Saya harap beliau dapat mainkan peranan positif dalam membantu kerajaan meneruskan pendekatan madani,” katanya kepada pemberita selepas selesai menyampaikan ucaptama pada Persidangan Meja Bulat Asia-Pasifik, hari ini.

Media hari ini melaporkan Ramasamy mengesahkan keluar daripada DAP berkuat kuasa serta-merta hari ini. 

Beliau sudah menghantar surat keluar parti itu kepada Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook awal pagi tadi.

Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perai itu mendakwa, beliau diketepikan dalam DAP kerana seorang ‘maharaja’ yang menjadi punca berlaku krisis dalam DAP Pulau Pinang. 

Sebelum ini, Ramasamy antara ADUN yang digugurkan daripada bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Pulau Pinang. 

Siew Fook kemudian menjelaskan, pengguguran Ramasamy dan beberapa yang lain dalam usaha untuk meremajakan parti itu supaya kekal relevan dan penglibatan muka baharu akan membawa nafas baharu kepada DAP. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya