Anwar, Erdogan bincang hal pertemuan, pelaburan dan pertahanan

Anwar, Erdogan bincang hal pertemuan, pelaburan dan pertahanan

ANWAR Ibrahim mengadakan pertemuan maya bersama Recep Tayyip Erdogan, malam tadi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan pertemuan secara maya dengan Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan bagi membincangkan pelbagai perkara termasuk pelaburan, pertahanan dan sebagainya.

Melalui pertemuan tersebut, Erdogan memberi komitmen untuk berkunjung ke Malaysia dalam masa terdekat dan melakukan perjumpaan secara bersemuka dengan Anwar semasa Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) di New York bulan depan.

Anwar berkata, antara perkara yang disentuh di dalam perbincangan tersebut adalah mengenai kerjasama pelaburan antara Malaysia dan Turkiye.

“Saya turut mengulangi komitmen pelaburan Malaysia Airport Holding Bhd sebanyak £200 juta di Lapangan Terbang Antarabangsa Istanbul Sabiha Gokcen (ISGIA).

“Untuk itu, Batik Air terpilih sebagai operator untuk laluan KUL-ISG. Dijangka penerbangan Batik Air akan bermula pada Oktober 2023,” katanya melalui satu hantaran di Facebook.

Perjumpaan secara maya antara dua pemimpin tersebut turut disertai oleh Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Dr Zambry Abd. Kadir.

Anwar yang juga Ahli Parlimen Tambun itu berkata, kerjasama mengenai pertahanan turut dibincangkan selepas Agensi Industri Pertahanan Turkiye (SSB) menghantar delegasi yang besar untuk menyertai Pameran Aeroangkasa dan Maritim Antarabangsa Langkawi (LIMA) baru-baru ini.

“Saya berasa kagum dengan kemajuan teknologi pertahanan Turkiye dan yakin Malaysia bakal mendapat manfaat besar hasil kerjasama erat antara Malaysia-Turkiye. Sayugia saya bersetuju secara prinsip untuk memuktamadkan memorandum persefahaman dalam kerjasama pertahanan pada masa yang terdekat,” katanya.

Tambahnya, jumlah perdagangan dengan Turkiye pada tahun lalu berjumlah AS$4.62 bilion iaitu meningkat sebanyak 12.6 peratus.

“Jumlah lebihan dagangan sebanyak AS$3.33 bilion kerana Turkiye mengimport minyak sawit dan produk pertanian berasaskan minyak sawit,” jelasnya.

Sementara itu, pengerusi Pakatan Harapan itu juga menegaskan bahawa Kerajaan Perpaduan menolak sebarang unsur keganasan dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dengan tindakan tersebut di dalam negara.

“Saya juga menggunakan kesempatan ini untuk maklumkan kepada Erdogan terkait usaha Malaysia menentang Islamophobia iaitu tindakan membakar Al-Quran di Sweden. Saya mengecam sekeras-kerasnya tindakan tersebut yang berlindung di sebalik hak kebebasan bersuara yang diagungkan oleh Barat.

“Lantaran itu, Malaysia menzahirkan komitmen untuk menyumbang satu juta naskhah al-Quran di seluruh dunia termasuk 15,000 naskhah dengan terjemahan dalam bahasa Sweden sebagai salah satu usaha untuk menangani kedangkalan pemahaman Barat terhadap Islam,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya