Anak trauma, takut jumpa orang tidak dikenali - Ibu - Utusan Malaysia

Anak trauma, takut jumpa orang tidak dikenali – Ibu

FARAH DAYANA IZZATI MOHAMED NASIR dan suaminya, Mohamad Rashideen Khamisan hadir bagi mendengar hukuman yang dijatuhkan oleh Mahkamah Sesyen Johor Bahru ke atas seorang pengasuh yang didakwa cuai semasa menjaga anak mereka, Mac lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Bayi perempuan yang menjadi mangsa kecuaian seorang pengasuh wanita di sebuah taska di Taman Mutiara Rini, dekat sini pada Mac lalu kini masih trauma dan takut apabila bertemu dengan individu dewasa yang tidak dikenali.

Ibu kepada mangsa, Farah Dayana Izzati Mohamed Nasir, 26, berkata, anak sulungnya itu takut apabila dibawa untuk bertemu dengan pengasuh baharu.

“Selepas kejadian itu, saya dan suami menghantar anak ke taska berlainan semasa kami keluar bekerja. Walaupun dia tidak mengalami sebarang kecederaan fizikal, namun kami percaya emosi terganggu, sedikit trauma.

“Ini kerana apabila dibawa ke taska baharu, dia kelihatan takut untuk bertemu dengan individu dewasa yang tidak dikenali. Di taska baharu itu pun, dia hanya serasi dengan seorang pengasuh sahaja,” katanya ketika ditemui pemberita di luar pekarangan mahkamah, di sini hari ini.

Farah Dayana Izzati yang bekerja sebagai guru mengaku sedikit terkilan kerana sehingga kini pengasuh terbabit atau pengusaha taska berkenaan tidak menghubungi keluarganya untuk memohon maaf atas kejadian tersebut.

“Sedikit terkilan, namun saya terima keputusan mahkamah terhadap pengasuh itu. Saya berharap hukuman dijatuhkan itu akan menjadi pengajaran kepadanya dan juga kepada pengasuh lain di seluruh negara kerana ini penting apabila banyak kes penderaan dilaporkan melibatkan pengasuh taska yang diamanahkan ibu bapa untuk menjaga anak mereka,” katanya yang kini sedang hamil.

Hari ini Mahkamah Sesyen Johor Bahru menjatuhkan hukuman denda RM40,000, bon berkelakuan baik selama dua tahun serta perlu menjalani khidmat masyarakat selama 100 jam dalam tempoh enam bulan terhadap pengasuh berkenaan, Nurul Shahira A’shiqin Sulaiman, 26, yang mengaku bersalah atas dua pertuduhan cuai terhadap dua bayi dalam jagaannya, Mac lalu.

Hakim, Datuk Che Wan Zaidi Che Wan Ibrahim turut memerintahkan tertuduh dipenjara selama 10 bulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan.

Sebelum ini, tular dua rakaman video berdurasi 48 saat dan 39 saat memaparkan seorang pengasuh mengasari seorang bayi dengan menepuk kepala bayi terbabit yang sedang menangis selain turut meniup ke arah muka bayi tersebut sehingga menyebabkan bayi itu sukar bernafas. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN