Amanah wajar dilantik Exco NS

Amanah wajar dilantik Exco NS

MK IBRAHIM ABD. RAHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Parti Amanah Negara (Amanah) wajar diberi satu jawatan sebagai Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Negeri Sembilan bagi melengkapkan semangat Kerajaan Perpaduan.

Pengerusi Amanah Ne­geri Sembilan, Datuk MK Ibrahim Abd. Rahman berkata, walaupun hanya mempunyai satu kerusi dalam Dewan Undangan Negeri (DUN), penyertaan Amanah dalam barisan Exco dilihat penting.

“Amanah patut diberikan satu jawatan Exco tersebut kerana ia melengkapkan semua parti yang ada dalam Kerajaan Perpaduan ketika ini dan semuanya dapat memberikan sumbangan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Pada pilihan raya negeri (PRN) lalu, Pakatan Harapan (PH) menang seba­nyak 17 kerusi DUN dengan DAP menang di 11 kerusi dan PKR pula menang di lima kawasan manakala satu kerusi menjadi milik Amanah.

Kerusi yang dimenangi oleh Amanah ialah di DUN Klawang apabila penyandangnya, Datuk Bakri Sawir menang dengan majoriti 577 undi menewaskan dua pencabarnya.

Barisan Nasional (BN) pula menang di 14 kerusi DUN sekali gus menyaksikan PH dan BN yang membentuk kerjasama menang sebanyak 31 kerusi daripada keseluruhan 36 kerusi DUN, seterusnya membentuk kerajaan negeri de­ngan majoriti dua pertiga.

Pengerusi PH Negeri Sembilan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sikamat, Datuk Seri Aminuddin Harun mengangkat sumpah jawatan Menteri Besar Negeri Sembilan pada 14 Ogos lalu.

Bagaimanapun sehingga kini barisan Exco yang bakal dilantik belum lagi diumumkan.

MK Ibrahim berkata, setakat ini belum ada perbincangan di peringkat PH Negeri Sembilan berhubung pelantikan Exco. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×