JOHOR BAHRU: Seramai 1,583 pegawai dan anggota polis negeri ini ditugaskan bagi membantu kelancaran proses Pilihan Raya Negeri (PRN) di Selangor yang akan berlangsung Sabtu ini.
Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, bantuan sumber manusia itu membabitkan lapan pegawai kanan dan 1,575 anggota.
“Penugasan bantuan sumber manusia ini akan berjalan selama lima hari bermula hari ini hingga Isnin depan.
“Bagi pegawai atau anggota yang tidak disenaraikan dalam semboyan e-siar ini, mereka dikehendaki berada dalam keadaan siap siaga untuk digerakkan pada bila-bila masa tertakluk kepada arahan semasa.
“Penugasan ini untuk memastikan keselamatan di tempat mengundi, lalu lintas dan keselamatan orang ramai sepanjang PRN berlangsung,” katanya dalam ucapan pada Majlis Pelepasan Pergerakan Bantuan Sumber Manusia PRN ke-15 Kontinjen Johor di Ibu pejabat Polis Kontinjen Johor (IPK), di sini hari ini.
Pada 16 Julai lalu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain dilaporkan berkata, seramai 9,600 pegawai dan anggota akan dihantar ke enam negeri yang terbabit dengan PRN bagi memastikan proses mengundi berjalan lancar.
Kesemua anggota berkenaan diselaraskan oleh Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) berdasarkan permohonan yang dibuat bagi negeri yang terbabit PRN.
Dalam pada itu, Kamarul Zaman mengingatkan semua pegawai dan anggota yang terlibat supaya menjalankan tugas dengan penuh keikhlasan, memberi khidmat terbaik dan menjaga imej pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Pastikan setiap arahan penugasan dipatuhi dengan sebaiknya dan pastikan juga penggunaan dan keselamatan senjata api hendaklah diutamakan,” katanya. – UTUSAN