Tiba masa, saya tahu apa perlu buat – King Sing

Tiba masa, saya tahu apa perlu buat – King Sing

TIONG KING SING
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing mene­gaskan, beliau tahu perkara yang perlu dilakukan apabila tiba masanya selepas ada yang mempersoalkan sama ada beliau mempunyai bukti berhubung amalan rasuah di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Menurut Ahli Parlimen Bintulu itu, kini terpulang kepada pihak berkuasa untuk mengambil tindakan sepatutnya terhadap pendedahan berkenaan kerana semua perkara sudah dijelaskan lewat petang kelmarin.

“Tiba masa saya tahu apa kena buat,” katanya ringkas ketika dihubungi Mingguan Malaysia, semalam.

Sementara itu, King Sing enggan mengulas berhubung jumlah aduan berkaitan amalan rasuah yang diterima beliau terutamanya melibatkan pintu masuk negara.

“(Boleh) tanya pemain industri bagaimana, mereka lagi faham daripada saya,” katanya.

Sebelum ini, King Sing didakwa menceroboh masuk ke dewan ketibaan antarabangsa KLIA bagi mendesak Jabatan Imigre­sen membebaskan seorang pelawat dari China sehingga tular dalam media sosial.

Bagaimanapun, King Sing menafikan beliau menyalahgunakan kuasa sebagai seorang menteri dan menjelaskan pelancong berkenaan ditahan tanpa diberikan alasan oleh pihak imigresen sedangkan wanita tersebut mempunyai dokumen lengkap.

Pada masa sama, Presiden Parti Demokratik Progresif (PDP) itu mendedahkan, ada pegawai imigresen me­minta wang sekiranya pelancong ­asing ditahan ingin dilepaskan.

Sementara itu, Persatuan Pembangunan Pelancongan Antarabangsa Malaysia (MITDA) dan Persatuan Agensi Pelancongan Malaysia (MATA) menyokong usaha King Sing itu.

“Kami sudah lebih 40 tahun dalam bidang pelancongan, sudah tiba masa sesuatu tindakan memperbetul diambil agar imej Malaysia dihormati,” tegas MITDA dalam kenyataan.

Begitu juga dengan MATA yang menyokong penuh King Sing mengambil langkah proaktif kepada tumpuan serius ter­hadap kepentingan negara melibatkan Imigresen di KLIA. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN