JOHOR BAHRU: Badan Perhubungan UMNO Negeri Johor tidak akan mendesak Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi melakukan rombakan barisan Exco sedia ada.
Sebaliknya, Setiausaha UMNO Johor, Datuk Abdul Halim Suleiman menegaskan, kerjasama antara parti-parti dalam kerajaan perpaduan di peringkat negeri ini boleh diterjemah dalam pelbagai aspek, bukan semata-mata jawatan Exco kerajaan negeri.
“UMNO Johor melihat tiada keperluan untuk kerajaan negeri melakukan rombakan terhadap barisan Exco yang kini melibatkan wakil rakyat daripada Barisan Nasional (BN) sahaja, iaitu UMNO, MCA dan MIC.
“Benar memang ada kerjasama dalam kerajaan perpaduan, khususnya di peringkat Pusat, tetapi di Johor ada keunikannya, mungkin kerjasama itu boleh diterjemah dalam kaedah lain dan bukannya jawatan kepimpinan negeri,” katanya ditemui selepas menerima replika kunci Bangunan UMNO Bahagian Tebrau daripada wakil syarikat Z&Z Bina Sdn. Bhd., Kolonel (B) Mohd. Zain Hamzah, di sini hari ini.
Abdul Halim yang juga Ketua UMNO Bahagian Tebrau memberitahu, antara kerjasama yang boleh dilaksanakan melibatkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) BN-PH (Pakatan Harapan) termasuk di kawasan masing-masing.
“Mungkin boleh libatkan mereka dalam program-program kerajaan negeri di kawasan masing-masing, selain turut memberikan peruntukan sama rata kepada ADUN BN dan ADUN PH,” jelasnya.
Namun, beliau memberitahu, perkara itu tetap tertakluk dengan perbincangan antara kesemua pihak terlibat, dalam masa sama turut menghormati kepimpinan Menteri Besar Johor ketika ini.
“Setakat ini, pentadbiran kerajaan negeri Johor berjalan dengan baik di bawah Onn Hafiz, rekod pelaburan tertinggi turut dicapai beliau selain pelbagai pelaburan baharu dibawa masuk serta projek pembangunan dilaksanakan. Saya juga tidak ada mendengar sebarang desas-desus yang mendakwa akan adanya rombakan dalam pentadbiran kerajaan negeri Johor dalam masa terdekat ini,” katanya.
Bulan lalu, Pengerusi PH Johor, Datuk Seri Salahuddin Ayub dilaporkan berkata, gabungan itu tidak akan menuntut sebarang jawatan dalam barisan Exco kerajaan negeri walaupun kerjasama antara PH dan BN telah dijalin di peringkat Persekutuan.
Baru-baru ini, terdapat khabar angin bahawa bakal berlaku rombakan dalam barisan Exco kerajaan negeri Johor dengan beberapa nama akan digugurkan dan digantikan dengan pemimpin lain, termasuk daripada PH. – UTUSAN










