The 1975 tinggalkan Malaysia enam  jam selepas konsert tak senonoh   - Utusan Malaysia

The 1975 tinggalkan Malaysia enam  jam selepas konsert tak senonoh  

AYOB Khan Mydin Pitchay
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menepis dakwaan agensi itu  lambat bertindak ke atas kumpulan pop rock The 1975 sebaliknya kumpulan itu telah meninggalkan Malaysia selepas enam jam melakukan persembahan.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, insiden berkenaan berlaku pada pukul 11.30 malam,  21 Julai dan sebaik anggota kumpulan bersikap tidak senonoh sewaktu persembahan  konsert itu dihentikan.

“Susulan itu, kumpulan ini berlepas pulang ke United Kingdom (UK) pada pukul 5.30 pagi.

“Jadi dalam tempoh enam jam sahaja mereka sudah berlepas pulang dan laporan polis pertama yang diterima adalah pada keesokan hari pada jam 2 petang, jadi kita tidak sempat mengambil tindakan kerana mereka sudah berlepas balik,”katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akbar selepas merasmikan Majlis Penyerahan Bendera sempena Kejohanan World Police dan Fire Games Winnipeg 2023 di Bukit Aman semalam.

Hadir sama Pengarah Pengurusan, Datuk Seri Azmi Abu Kassim dan Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mohd. Azman Ahmad Sapri. 

Ayob berkata, PDRM akan berurusan dengan pihak berkuasa UK sekiranya terdapat proses pendakwaan.

“Kesalahan ini adalah kesalahan yang dilakukan di negara ini, jadi kita tidak boleh memohon notis merah Polis Antarabangsa (Interpol) kecuali melibatkan kesalahan yang besar, kita akan berurusan dengan pihak UK.

YAKIN

“Saya yakin selepas ini Agensi Pusat Permohonan Penggambaran Filem Dan Pesembahan Artis Luar Negara (Puspal) akan lebih berhati-hati,”  jelasnya.

Mengulas lanjut, kata beliau, polis sudah mengambil 13 keterangan bagi membantu siasatan berhubung tindakan kumpulan berkenaan.

 “Enam keterangan diambil daripada pengadu, seorang penganjur dan enam Puspal. Setakat ini pihak polis menerima 18 laporan, lapan daripadanya daripada kontinjen Selangor dan 10 membabitkan kontinjen luar.

“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 509, Seksyen 504 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil,”jelasnya

Terdahulu, persembahan kumpulan The 1975 itu dihentikan susulan tindakan biadab vokalisnya Matty Healy yang menyentuh sensitiviti masyarakat Malaysia.

Dalam konsert berkenaan, vokalis berkenaan turut memperlekehkan undang-undang negara pada Festival Good Vibes yang berlangsung di Litar Antarabanga. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN