KLUANG: Hanya kerana tidak sempat mengelak ketika menuruni bukit, seorang penunggang motosikal maut selepas melanggar sebuah lori di Kilometer 6, Jalan Kluang-Teck Wah Heng, pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd. Noh berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 10 pagi itu ketika lori lima tan yang dipandu seorang lelaki berusia 22 tahun sedang memasuki simpang di sebelah kiri jalan ketika dalam perjalanan dari Bandar Kluang ke Renggam.
“Walau bagaimanapun, mangsa, seorang lelaki berumur 33 tahun yang menunggang motosikal Yamaha LC dari arah sama tidak sempat mengelak kerana sedang menuruni bukit lalu melanggar lori tersebut.
“Akibatnya, penunggang motosikal mengalami kecederaan parah pada bahagian badan dan dikejarkan ke Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom (HEBHK) Kluang,” katanya.
Menurutnya, pukul 2.45 petang, waris mangsa datang ke Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) dan memaklumkan mangsa disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – UTUSAN