KUALA LUMPUR: Tun Dr. Mahathir Mohamad semakin terdesak dan mahu dilihat terus relevan dengan mengeluarkan kenyataan bahawa mempromosikan Malaysia sebagai negara berbilang kaum melanggar Perlembagaan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, bekas Perdana Menteri itu telah kehilangan pengaruh selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) sehingga hilang deposit ketika bertanding di kerusi Parlimen Langkawi.
“Saya rasa kita tidak patut ambil serius sangat. Sudah tentu, (ini) percubaan terakhirnya untuk dilihat relevan. Saya akan menjadikan dia (Mahathir) tidak relevan.
“Saya tidak akan mengulas mengenainya,” katanya dalam sesi soal jawab dalam Persidangan Undang-Undang Antarabangsa Malaysia 2023 di sini hari ini.
Anwar menjawab soalan bekas Presiden Badan Peguam Malaysia, Christopher Leong berkenaan kenyataan Dr. Mahathir berkaitan mempromosi Malaysia sebuah negara berbilang kaum.
Dr.Mahathir mendakwa, amalan mempromosikan negara berbilang bangsa bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan sebaliknya Perlembagaan Persekutuan hanya menekankan Kemelayuan Malaysia.
Mengulas lanjut, Anwar berkata, Perlembagaan Persekutuan dengan jelas menggariskan hak dan keistimewaan orang Melayu.
Katanya, Perlembagaan juga dengan jelas menyatakan perlu melindungi semua rakyat di negara ini, malah, masa depan adalah untuk semua rakyat Malaysia.
“Saya sebagai orang Melayu, saya menghormati Raja, budaya, bahasa dan tradisi Melayu tapi saya tidak boleh menidakkan hak bangsa lain.
“Saya tidak boleh faham, kenapa dalam tahun 2023, kita tidak membicarakan mengenai ekonomi atau teknologi digital, sebaliknya, mengenai negara ini milik siapa,” katanya.- UTUSAN








