JUMLAH dagangan Malaysia dianggar melonjak sebanyak 27.2 peratus kepada RM3.90 trilion pada 2026, didorong kitaran menaik teknologi global dan perkembangan sektor tenaga yang menggalakkan meskipun berdepan ketidaktentuan persekitaran luaran serta pertumbuhan perdagangan global yang lebih perlahan.
Menurut Tinjauan Ekonomi 2027, eksport kasar dijangka meningkat sebanyak 31 peratus kepada RM2.11 trilion pada 2026, disokong kitaran menaik teknologi dan kemajuan pesat kecerdasan buatan (AI).
“Pertumbuhan eksport kasar dipacu eksport barangan pembuatan yang diunjur melonjak sebanyak 34.7 peratus, manakala eksport produk elektrik dan elektronik (E&E) dijangka meningkat sebanyak 44.3 peratus berikutan jualan semikonduktor global yang lebih kukuh.
“Semikonduktor yang merupakan pemacu utama eksport menyumbang lebih daripada 65 peratus eksport produk E&E, diikuti komponen kelengkapan telekomunikasi dan kelengkapan pemprosesan data automatik.
“Eksport produk E&E yang lebih tinggi sebahagiannya disokong peningkatan ketara eksport semikonduktor ke Amerika Syarikat (AS) yang menyumbang lebih daripada 20 peratus jumlah eksport semikonduktor susulan pengecualian tarif.
“Eksport produk bukan E&E juga diunjur berkembang sebanyak 24.6 peratus didorong permintaan lebih tinggi daripada rakan dagang utama bagi produk pembuatan lain, produk petroleum serta barangan optik dan saintifik.
“Bagaimanapun, permintaan lebih perlahan dijangka bagi produk besi dan keluli, barangan makanan diproses, produk kayu, produk kertas dan pulpa serta minuman dan tembakau,” katanya.
Sementara itu, eksport barangan perlombongan dijangka meningkat sebanyak 22.8 peratus, dipacu permintaan lebih tinggi terhadap gas asli cecair (LNG) serta bijih logam dan serpihan logam yang mengimbangi eksport petroleum mentah yang lebih perlahan susulan konflik di Asia Barat.
Bagaimanapun, eksport barangan pertanian dijangka menguncup sebanyak 8.6 peratus, terutama disebabkan penyusutan eksport minyak sawit dan produk pertanian berasaskan minyak sawit, getah asli serta hasil pertanian lain.
Sementara itu, import kasar pula dianggar meningkat sebanyak 23.1 peratus kepada RM1.79 trilion pada 2026, didorong peningkatan import barangan perantaraan, barangan modal dan barangan penggunaan.
“Import barangan perantaraan yang merangkumi bahagian terbesar, iaitu lebih 45 peratus daripada jumlah import, dijangka berkembang sebanyak 20.8 peratus berikutan permintaan lebih kukuh daripada sektor pembuatan, khususnya bagi alat ganti dan aksesori serta bekalan industri.
“Pertumbuhan ini selaras dengan peningkatan indeks pengurus pembelian (PMI), iaitu penunjuk perkembangan aktiviti perniagaan dan ekonomi yang secara konsisten memberikan isyarat perubahan mendatang dalam kuantiti import.
“Import barangan modal pula dijangka meningkat sebanyak 9.5 peratus dipacu pelaburan infrastruktur dan utiliti yang sedang dilaksanakan serta aktiviti pengembangan dan kepelbagaian perniagaan.
“Permintaan kukuh terhadap pengkomputeran awan dan perniagaan dalam talian turut menyumbang kepada peningkatan import berkaitan pembangunan pusat data.
“Pada masa sama, barangan penggunaan diunjur berkembang sebanyak 1.4 peratus, terutama didorong peningkatan import barangan pengguna lain susulan peningkatan kuasa beli domestik, perubahan cita rasa pengguna serta kadar tukaran mata wang yang menggalakkan,” katanya. – UTUSAN











