MELAKA: Kerajaan negeri akan menjadikan Sungai Melaka fasa dua sebagai lokasi khusus melibatkan aktiviti sukan air seperti berkayak dan perahu naga.
Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh berkata, Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM) telah diminta menyediakan jadual supaya aktiviti berkaitan dapat dijalankan khususnya oleh ahli-ahli Persatuan Perahu Naga Melaka.
Beliau berkata, sukan air di laluan sepanjang 4.9 kilometer itu dilihat berpotensi menarik kemasukan lebih ramai pelancong khususnya untuk Tahun Melawat Melaka (TMM) 2024.
“PPSPM diminta menyediakan jadual agar aktiviti riadah dan latihan dapat dijalankan khususnya oleh ahli Persatuan Perahu Naga.
“Satu tarikan baharu juga akan diwujudkan bagi memberikan ruang kepada peminat-peminat sukan kayak menjadikan sungai ini sebagai tempat latihan dan riadah. Selain itu, kerajaan negeri berhasrat untuk mempromosikan beberapa lagi sukan air yang lain,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Perlumbaan Perahu Naga 2023 di River Information Centre (RIC), Pengkalan Rama di sini, semalam.
Perlumbaan Perahu Naga 2023 diadakan sempena Pesta Duanwu iaitu salah satu perayaan tradisional utama kaum Cina dan merupakan acara sukan air utama sejak 2,000 tahun lalu.
Ia melibatkan 30 penyertaan dari Terengganu, Johor, Putrajaya, Sarawak dan lain-lain dengan dua kategori dipertandingkan iaitu kategori terbuka dan kategori tertutup. – UTUSAN











